Berikut adalah beberapa cadangan mengenai kempen menangani penyakit masyarakat ataupun dipanggil gejala sosial. Satu usaha bersepadu tanpa mengira batasan perkauman dan fahaman politik haruslah digerakkan dalam menangani gejala sosial ini.

Ini kerana penyakit atau 'wabak' ini melanda masyarakat tanpa mengenal latarbelakang kaum serta fahaman politik mereka. Memandangkan penyakit gejala sosial ini dihidapi kebanyakannya orang Melayu yang beragama Islam, maka cadangan yang disampaikan ini, lebih menjurus kepada penyelesaian dalam komuniti Islam.

Sekiranya penyakit masyarakat ini dapat diubati di kalangan orang Islam, maka secara tidak langsung ia akan menarik minat bukan Islam untuk menangani gejala sosial dalam masyarakat mereka berpandukan kepada kaedah yang dibentangkan di sini.

Antara penyakit masyarakat yang merebak sekarang ialah sumbang mahram, budaya samseng dan merosak harta awam, penagihan dadah, keganasan rumah tangga, pembuangan bayi, tekanan jiwa dan banyak lagi penyakit lain yang kita sendiri merasa terkedu lidah untuk menyebutnya.

Diatas kesedaran dan keinsafan tentang bahayanya gejala sosial kepada masa hadapan bangsa dan negara, adalah disarankan supaya kerajaan negeri membentuk satu Jawatankuasa dan Pelan Tindakan Bersepadu yang menyeluruh yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai latarbelakang fahaman politik, jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan.

Antara perkara-perkara penting yang perlu diambil kira bagi mempastikan kejayaan dan keberkesanan Pelan Tindakan Bersepadu tersebut adalah seperti berikut :

1. Menggerakkan masyarakat. Untuk menggerakkan masyarakat Melayu/Islam, tempat yang paling sesuai ialah di masjid atau di surau. Di sinilah masyarakat Islam berkumpul pada setiap hari, setidak-tidak pada waktu malam sekiranya mereka sibuk bekerja pada siang harinya.

Apabila masjid dan surau mula berbincang mengenai cara-cara untuk menangani penyakit masyarakat, sudah pastilah pelan tindakan yang disusun oleh kerajaan negeri, melalui agensi kerajaan dan jabatan yang berkaitan akan menjadi lebih mudah.

Apa yang kita mahukan di sini ialah masjid-masjid dan surau-surau menjadi perantara kepada mesej yang hendak disampaikan oleh kerajaan negeri dalam mengubati penyakit ini serta kaedah rawatan yang perlu diambil dan seterusnya kaedah pencegahannya.

2. Kempen solat. Sembahyang adalah merupakan tiang agama. Meninggalkan solat bermakna kita merobohkan tiang agama. Apabila tiang agama itu roboh maka tiadalah sudah pegangan hidup.

Maka kempen solat hendaklah menjadi agenda utama dalam Pelan Tindakan Bersepadu dalam apa jua keadaan dan masa, di masjid, surau, di gedung perniagaan, di tempat kerja, malah di pusat peranginan dan rekreasi. Tidak ketinggalan juga kempen solat semasa perjalanan terutama di musim perayaan baik dalam keretapi ataupun mereka yang membawa kenderaan sendiri.

3. Kerjasama dengan agensi kerajaan dan badan sukarela: Beberapa agensi kerajaan dan badan sukarela telahpun dibentuk sejak sekian lama dalam menangani penyakit masyarakat, antaranya Agensi Dadah Kebangsaan, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan dan seterusnya.

Institusi masjid dan surau haruslah, dari masa ke semasa, mengadakan kerjasama dengan pihak yang disebutkan tadi dalam menangani penyakit masyarakat. Bagi menangani masalah ragut, pecah rumah, rogol dan sebagainya, jalinan kerjasama dan pertukaran maklumat boleh dilakukan dengan pihak PDRM.

Dalam menangani kes lepak, ponteng sekolah, penagihan arak dan sebagainya, kerjasama boleh dilakukan dengan Pihak Berkuasa Tempatan dengan memberi maklumat mengenai pusat-pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen, melebihi had masa, penjualan arak tanpa lesen, pengiklanan arak tanpa permit dan seterusnya.

Pihak berkuasa tempatan juga boleh memberi penerangan kepada masyarakat setempat mengenai peraturan yang perlu dipatuhi oleh pusat hiburan, kedai menjual arak, kedai judi dan seterusnya, seperti kewajaran mengadakan kedai menjual arak serta kedai judi di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Begitu juga dalam menangani masalah penagihan dadah kerjasama antara pihak masjid dan surau boleh diwujudkan dengan Agensi Dadah Kebangsaan. Jika selama ini masjid dan surau hanya dijadikan tempat penyampaian ceramah atau kuliah agama, mengapa tidak ianya dijadikan tempat menyelesaikan segala permasalahan yang disebutkan tadi selagi ianya menurut apa yang dikehendakki oleh Islam dan tidak melanggar batas-batas syarak.

4. Kempen memudahkan perkahwinan: Jenayah seksual sekarang melibatkan mereka yang masih bersekolah. Bila anak-anak berkeinginan untuk berkahwin, Islam menyuruh ibu bapa supaya menyegerakannya bagi menghindari mereka daripada terjebak ke lembah yang hina.

Dan perkahwinan ini hendaklah dipermudahkan agar pasangan suami isteri boleh hidup bahagia selepas majlis perkahwinan, sesuai dengan apa yang diperkatakan, iaitu Islam itu adalah mudah.

Sebagai usaha menarik muda-mudi berkahwin, beberapa insentif boleh diberikan, antaranya kemudahan untuk mendapat pekerjaan, kemudahan mendapat rumah kos rendah, saguhati perkahwinan dan sebagainya.

Pihak masjid, surau serta badan sukarela juga boleh menimbang sekiranya perlu untuk menganjurkan majls perkahwinan beramai-ramai untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan.