Pertandingan ini merupakan salah satu kempen daripada siri-siri kempen bantah cukai barangandan perkhidmatan (GST) yang dianjurkan oleh PKR.

Selain bertujuan untuk mencari logo yang terbaik, pertandingan ini bertujuan untuk menjadikan kempen bantah GST di ruang media sosial viral.

Saya mewakili pihak penganjur mengucapkan ribuan terima kasih di atas penyertaan dan sambutan hangat yang diberikan.

Setelah diadili oleh pihak juri, kami memilih 16 logo terbaik untuk dipamerkan di Facebook “Demi Rakyat”.

Kemudiannya, pemenang telah dipilih melalui jumlah “ like ” terbanyak.

Tempoh pertandingan adalah dari 3 Ogos hingga 28 Ogos selama 25 hari. Jumlah keseluruhan like untuk 16 logo ini ialah sebanyak 14,100.

Saya mengucapkan tahniah kepada saudara Muhammad Hilmi Ismail yang mendapat tempat pertama dengan mendapat sebanyak 3,300 like .

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM1000.

Pemenang tempat kedua ingin merahsiakan nama beliau atas sebab-sebab tertentu.

Beliau mendapat sebanyak 1,600 like dan berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.

Pemenang tempat ketiga, saudara Muhammad Amzar Mohamed mendapat sebanyak 1072 like dan memenangi wang tunai sebanyak RM200.

Bilangan capaian ( people reached ) pengguna Facebook untuk kempen ini ialah sebanyak 639,400 pengguna.

Jumlah yang besar ini mencerminkan majoriti rakyat Malaysia masih membantah perlaksanaan GST.

GST masih menjadi satu isu besar yang menghantui rakyat dan akan terus membebankan rakyat Malaysia.

PKR akan terus konsisten memperjuangkan nasib rakyat dan menentang GST.

Daripada maklum balas daripada rakyat, rakyat masih amat tidak puas hati terhadap GST dan sentimen ini adalah datang dari seluruh pelosok negara.

Walaupun skandal 1MDB dan RM2.6 bilion skandal sekarang menjadi isu panas di media, ini tidak bermaksud rakyat telah menerima GST.

Kami juga mendapati bahawa ketidakpuasan rakyat terhadap GST telco card sangat tinggi. Ini boleh didapati daripada kajian kami.

Maka, PKR ingin menyeru menteri KKM yang baru Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak untuk mengkaji balik GST terhadap kad tambah nilai.

PKR mencadangkan dua kaedah kepada menteri untuk menyelesaikan masalah GST kad syarikat telekomunikasi.

Pertamanya adalah meletakkan GST kad tambah nilai pada kadar sifar (zero rated). Ini adalah cara yang paling senang dan efektif.

Kedua, menteri boleh menggunakan kuasa untuk menetapkan kadar menggunakan Seksyen 199 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 demi kepentingan awam:

“Walau apa pun seksyen 197, menteri boleh, atas syor suruhanjaya, campur tangan secara bebas atau dengan kerap dalam menentukan dan menetapkan kadar bagi mana-mana kemudahan atau perkhidmatan bersaing yang diberikan oleh seseorang pemberi yang disebut dalam subseksyen 197(1) atas sebab yang wajar, atau sebagaimana yang dikehendaki demi kepentingan awam.”

Kami menyeru menteri KKMM yang baru lebih fokus kepada isu rakyat seperti GST daripada cuba mengharamkan laman web dan mengambil tindakan kepada pengguna-pengguna laman sosial.


SIM TZE TZIN anggota parlimen Bayan Baru dan pengarah strategik PKR.