PKPIM merujuk ucapan José Ugaz, Presiden Transparency International (TI) dalam Persidangan Anti-Rasuah Antarabangsa (IACC) yang berlangsung pada 02 September 2015 di Putrajaya.

Beliau dengan jujur menegur kerajaan Malaysia agar tidak hanya memberikan janji manis untuk melakukan perubahan dalam membanteras rasuah.

Segala tindakan dan inisiatif membanteras rasuah tidak akan berjaya selagi dua soalan asas tentang isu RM 2.6 bilion (AS$ 700 juta) belum terjawab secara tuntas:

1) Siapa yang membayar wang tersebut ke dalam akaun bank peribadi Dato' Seri Najib?

2) Untuk tujuan apa ia dimasukkan?

Meneliti kronologi kes ini dari awal, PM Datuk Seri Najib tidak pernah konsisten dalam jawapan beliau. Setelah satu per satu maklumat bocor, maka muncullah pelbagai jawapan untuk menutup lubang yang beliau cipta sendiri.

Kami bimbang apabila melihat rombakan jemaah menteri yang berlaku secara tiba-tiba serta pengguguran orang nombor dua ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara terbuka mengkritik isu 1MDB.

Kami juga melihat, pengguguran peguam negara, penahanan dan siasatan terhadap pegawai penyiasat SPRM dan arahan pertukaran tugasan penjawat awam yang terlibat dengan penyiasatan kes memperlihatkan belang sebenar Datuk Seri Najib.

PKPIM mewakili para pelajar dan mahasiswa Islam di Malaysia berasa jelek dengan sikap dan tindakan perdana menteri ini. Kami mendambakan seorang pemimpin tertinggi negara yang berketerampilan, progresif, amanah, telus dan berintegriti.

Kegagalan perdana menteri memberi penjelasan secara tuntas dan sikap berdolak-dalih sudah menghilangkan kepercayaan kami terhadap kepemimpinan beliau.

Kami tuntut perdana menteri bertindak sewajarnya dalam menjawab kemelut ini atau letak jawatan secara sukarela. Jangan tunggu sampai dijatuhkan.

Kepada jemaah menteri, kami menasihatkan agar berpihak kepada kebenaran. Sudah-sudahlah mempertahankan kesalahan dan kebatilan.

Bak kata pepatah Melayu, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Kebenaran akan muncul, dan yang bersalah akan dihukum. Jangan sampai para menteri sekalian turut dihukum akibat bersubahat.

Kepada rakyat, ingatlah bahawa kita sekarang berada dalam suasana susah, payah dan sukar.

Disebabkan skandal besar negara oleh para pemimpin yang khianat dengan amanah rakyat, kita semua terpaksa menanggungnya. Justeru, menjadi tanggungjawab kita membetulkan keadaan demi hidup dan masa depan kita.

Ketidaktelusan perdana menteri dalam menjawab persoalan tentang isu ini membangkitkan spekulasi bahawa PM menerima rasuah.


MOHAMMAD FAZRIL MOHD SALEH presiden PKPIM.