Elak beli hartanah bawah skim pelik
Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) ingin memberi nasihat secara terbuka kepada orang awam supaya mengelakkan diri daripada membeli sesuatu hartanah yang dijual oleh mana-mana pihak melalui skim yang pelik-pelik dan meragukan dari segi konsep dan pelaksanaannya.
Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, pembeli wajib berhati-hati sebelum bersetuju untuk membeli sesuatu hartanah yang ditawarkan di bawah skim tersebut oleh pihak tertentu.
Ini bertujuan untuk mengelakkan mereka tertipu dan mengalami kerugian yang besar kerana terlibat dengan transaksi hartanah yang tidak mengikut prosedur perundangan dan amalan guaman yang sebenar.
Sejak akhir-akhir ini wujud pelbagai skim jualan hartanah yang meragukan dan boleh menarik minat masyarakat untuk membelinya.
Antara aduan yang diterima oleh pihak kami termasuklah penjualan tanah lot murah tanpa geran indivudu dan tawaran pembinaan rumah dengan harga yang murah di atas tanah yang belum ditetapkan.
Ada juga yang terima tawaran penjualan rumah mesra rakyat oleh pemaju perumahan yang meragukan, tawaran menjadi ahli koperasi untuk mendapatkan harga rumah murah dan pelbagai lagi skim yang ditawarkan.
Melalui skim tersebut, pembeli ditawarkan dengan harga hartanah yang murah dan mampu dibeli.
Walaubagaimanapun, untuk melayakkan mereka mendapat harga yang sedemikian, mereka disyaratkan membuat bayaran tertentu secara tunai sama ada bayaran tersebut adalah dikira sebagai bayaran deposit, yuran komitmen, yuran keahlian dan sebagainya.
Salkukhairi juga mendedahkan, kebanyakan skim sedemikian akan mensyaratkan pembeli membuat bayaran secara tunai atau melalui pembiayaan peribadi tanpa melibatkan gadaian terhadap hartanah yang dibeli.
Pembeli juga diminta menjelaskan bayaran harga jual beli dalam tempoh masa tertentu secara sekali gus tanpa berdasarkan progres pembinaan hartanah tersebut dan sebagainya.
Pembeli kena sedar pembelian sesuatu hartanah sedemikian boleh mendedahkan pembeli kepada risiko kerugian di mana sekiranya hartanah yang dijual tersebut tidak wujud atau tidak mempunyai geran individu yang berasingan, bagaimanakah ia mungkin dipindah milik kepada pembeli.
Walaupun mungkin wujudnya perjanjian dalam transaksi tersebut, tetapi ianya tidak berguna apa-apa sekiranya perjanjian yang ditandatangani adalah berat sebelah dan tidak melindungi kepentingan pembeli sepenuhnya.
Seandainya berlaku sesuatu keingkaran di pihak penjual di kemudian hari, sudah pasti pembeli terpaksa mengambil tindakan perundangan terhadap penjual.
Dan untuk mengambil tindakan perundangan ini bukannya mudah kerana ianya akan melibatkan kos yang besar dan masa yang agak lama.
Bayangkan penderitaan yang bakal dialami oleh pembeli. Sudahlah terpaksa menjelaskan bayaran harga jual beli yang banyak secara tunai, hartanah yang dibeli pula tidak boleh dipindah milik kepada mereka, kini terpaksa pula mengeluarkan kos yang besar untuk mengambil tindakan perundangan kepada pihak yang berkenaan.
Sila pastikan anda beli hartanah daripada pemaju yang mempunyai lesen pemajuan perumahan yang sah yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan sahaja. Sila hubungi Jabatan Perumahan Negara untuk mengesahkan status pemaju perumahan itu sebelum anda bersetuju dengan jualan rumah yang ditawarkan.
Di samping itu pastikan hartanah yang anda ingin beli tersebut juga telah mempunyai geran individu yang berasingan dan anda tahu lokasi dan kedudukan sebenar hartanah tersebut.
Pastikan juga transaksi urusniaga jual beli tersebut adalah mengikut prosedur jual beli dan urusan guaman yang biasa diamalkan atau transaksi tersebut dikawal selia di bawah sesuatu Akta yang khusus, misalnya Akta Pemajuan Perumahan, Akta Hakmilik Strata dan sebagainya.
Yang paling baik sekali, lantiklah peguam hartanah anda sendiri untuk membuat siasatan lanjut tentang jualan hartanah yang ditawarkan tersebut dan dapatkan nasihat perundangan yang tepat daripada mereka sebelum anda membeli sesuatu hartanah.
HartaGuam juga akan sentiasa memberi nasihat perundangan dan kesedaran kepada masyarakat dari masa ke semasa tentang sesuatu urusniaga jual beli hartanah yang sah dan mengikut prosedur perundangan yang sebenar.
Ini semata-mata bertujuan untuk mengelakkan mereka daripada tertipu dan terlibat dengan skim jual beli hartanah yang pelik-pelik dan meragukan.
SALKUKHAIRI ABD SUKOR presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

