Dalam pilihan raya umum ke-13, DAP buat pertama kalinya meletakkan calon di negeri Perlis di DUN Titi Tinggi.
Calon DAP iaitu Teh Seng Chuan yang memperolehi sebanyak 2,439 undi. Pemenang, calon MCA iaitu Khaw Hock Kong meraih 3,925 undi manakala sebanyak 968 undi lagi diperolehi calon Bebas, Yaacob Man.
Calon MCA menang dengan majoriti 1,486 undi. Jika berlaku pertandingan dua penjuru, tidak mustahil jika undi yang diperolehi calon Bebas itu akan berpindah kepada calon DAP dan membolehkan Teh mendapat sehingga lebih 3,400 undi.
Berdasarkan unjuran ini, DAP mungkin akan mencipta sejarah dalam pilihan raya umum akan datang dengan menewaskan calon MCA di DUN Titi Tinggi di negeri Indera Kayangan.
DAP juga mungkin boleh mencuba nasih di satu kerusi majoriti Melayu iaitu di DUN Beseri yang terletak bersebelahan dengan DUN Titi Tinggi. Mungkin DAP boleh meletakkan seorang calon Melayu bagi merampas kerusi tersebut dari Umno.
Umno hanya menguasai kerusi tersebut dengan 540 undi majoriti dalam PRU13, ini bermaksud DAP mempunyai harapan jika berlaku pertembungan tiga penjuru antara PAS, DAP dan Umno di kawasan tersebut.
Sekiranya DAP meletakkan calon Cina di DUN Titi Tinggi dan calon Melayu di DUN Beseri, mungkin suara rakyat Perlis akan lebih didengari. Isu-isu seperti industri gula, keselamatan sempadan Thailand-Malaysia, pengagihan zakat, NCER, peluang pekerjaan dan kebajikan dapat digunakan sebagai isu utama di dua kawasan DUN tersebut.
Selepas 58 tahun Umno memerintah Perlis namun tidak banyak pembangunan dan kemajuan dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan Umno. Perlis seolah-olah negeri yang dilupakan oleh kerajaan pusat.
Mungkin sudah tibanya DAP serius untuk menggegarkan Perlis dengan mengetengahkan isu-isu sebegini.
Biarpun kerusi DUN di bawah Parlimen Kangar mempunyai potensi untuk ditembusi namun DAP boleh meneroka kawasan baru di Parlimen Padang Besar sebagai batu loncatan untuk menafikan majoriti dua pertiga BN di negeri Perlis.
DAP boleh jadikan Parlimen Padang Besar sebagai tapak asas paling utara untuk kelangsungan politik DAP, manakala PKR di Parlimen Kangar dan Amanah di Parlimen Arau.
DAP sudah bertapak di kawasan paling selatan di Semenanjung Malaysia iaitu Parlimen Tanjong Piai, maka tiba masanya DAP memilih Parlimen Padang Besar sebagai kawasan paling utara di Semenanjung Malaysia.
Kalau sudah dapat ekor, mesti dapat kepala untuk menyempurnakan segala-galanya.
ABDUL AZIZ ISA setiausaha publisiti Pemuda DAP Petra Jaya.
