South East Asian Regional Assembly of Muslim Youth (SARMY) mengucapkan tahniah kepada pentadbiran Munich, negara Jerman atas sikap kemanusiaan yang ditunjukkan.

Negara itu membuka pintu sempadan mereka dan menerima pelarian daripada negara Syria serta menyediakan tempat perlindungan sementara kepada semua pelarian tersebut.

Dianggarkan lebih 10,000 orang pelarian Syria tiba di Jerman dengan menaiki kereta api dari Negara Hungary dan Austria.

Sikap warga Jerman juga dapat dilihat dengan sorakan dan tepukan mereka ketika menyambut pelarian yang tiba, selain memberikan bantuan makanan, beberapa keperluan bekalan asas dan barangan permainan untuk kanak-kanak.

Canselor Jerman, Angela Dorothea Merkel mengumumkan bahawa Jerman bersedia untuk memberikan perlindungan kepada semua rakyat Syria di negara itu berikutan konflik dan pergolakan yang berpanjangan di Damsyik yang tiada kesudahan sehingga kini.

SARMY melihat ianya satu tamparan hebat kepada semua negara Islam yang tidak tampil membantu negara jiran Islam iaitu Syria yang sepatutnya dihulurkan bantuan terlebih dahulu lagi.

Sikap peduli dan keprihatinan Jerman sangat-sangat dihargai dan disambut baik oleh masyarakat antarabangsa. Negara itu malah menyediakan kelengkapan berupa katil untuk kegunaan para pelarian ini berehat.

Tindakan ini yang sepatutnya ditunjukkan oleh negara Islam kerana yang dibantu juga adalah masyarakat Islam.

SARMY mengharapkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sewajarnya memainkan peranan penting sebagai orang tengah untuk menyelesaikan konflik di Damsyik secepat mungkin.

Sudah tiba masanya OIC menghantar tentera pengaman untuk mengawal keadaan dan membantu agar bandar Damsyik kembali pulih dan rakyatnya boleh kembali ke kampung halaman mereka.


RAJA AHMAD ISKANDAR pengerusi South East Asian Regional Assembly of Muslim Youth (SARMY).