Naib Presiden Umno yang mendapat tempat ketiga, Tan Sri Muhyiddin Yassin diharapkan mendapat ilham bagaimana mahu menyelesaikan masalah politik wang dengan tugasnya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno.

Pada tahun 1993, Muhyiddin menduduki tempat pertama dengan mendapat 1,400 undi, jauh meninggalkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib di belakangnya. Ketika itu, ramai yang terkejut bagaimana Muhyiddin Menteri Besar Johor ketika itu boleh mengatasi undi Najib yang melepaskan jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Khabarnya, Najib juga terkejut. Malahan, tersentak dibuatnya dengan pukulan 'politik wang' ketika itu. Namun, Najib tidak pula bersungut dan mengeluh, sebaliknya menyusun strategi tiga tahun, untuk mengumpul kekuatan untuk menduduki tangga teratas.

Jelas, Najib berjaya. Kejayaan Najib menduduki tempat pertama sebagai naib presiden dibuat dengan strategi tersusun dan menambah kawan-kawan yang dahulunya sama-sama dalam sayap parti, Pemuda Umno.

Pada 1996 ketika Najib berjaya, Muhyiddin tersungkur. Dari tempat pertama, beliau jatuh ke tempat ke enam. Muhyiddin yang menjadi Menteri Belia dan Sukan ketika itu bersedih. Pejabatnya di Pusat Bandar Damansara sunyi dan sepi.

Selepas tiga tahun, pemilihan ditangguhkan kerana pilihanraya. Muhyiddin yang dipindahkan dari Kementerian Belia dan Sukan ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, bercadang bertanding semula jawatan naib presiden.

Empat tahun lalu, beliau juga menang dengan 813 undi dan menduduki tempat ketiga. Kini, beliau memperbaiki jumlah undi, tetapi masih menduduki tempat ketiga. Cuma, Kementerian Pertanian dan Asas Tani adalah kementerian tidak popular di mata perwakilan.

Tan Sri Sanusi Junid ketika menang jawatan Naib Presiden tahun 1990 juga menduduki tempat ketiga dan merupakan Menteri Pertanian ketika itu. Sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang tidak banyak berurusan dengan pemimpin Umno, cukuplah menduduki tempat ketiga.

Sekiranya Datuk Seri Abdul Ghani Othman dan Datuk Seri Syed Hamid Albar turut bertanding jawatan naib presiden, Muhyiddin mungkin tewas. Oleh itu, terima kasih diucapkan kepada Datuk Ghani dan Datuk Seri Syed Hamid yang 'berkorban' demi Muhyiddin.

Muhyiddin mungkin tidak suka diperkatakan sedemikian tetapi bolehkah sesiapa meramalkan nasib beliau jika salah seorang dari pemimpin Johor ini atau kedua-duanya turut sama bersaing merebut kerusi naib presiden?

Dengan kedudukan sekarang, Muhyiddin kenalah mengatur strategi bagaimana harus politik wang dihapuskan. Jika tidak, Muhyiddin yang akan menghadapi laluan sukar tiga tahun akan datang, menghadapi serangan perwakilan Umno mengenai apa yang sudah dilakukan selama ini terhadap Perlembagaan dan Peraturan Umno.

Beliau yang beria-ia mahu melihat Lembaga Disiplin bertindak proaktif, seharusnya menyalurkan maklumat kepada lembaga itu, bagaimana cara terbaik memasang perangkap dan seterusnya menghukum mereka yang terlibat dengan politik wang.