Selesai baiah taklik di mahkamah
Saya menyokong penuh gesaan Presiden Persatuan Guaman Syarie Malaysia, saudara Musa Awang yang mengesyorkan anggota PAS yang terlibat dengan baiah taklik supaya merujuk status perkahwinan mereka dengan segera ke Mahkamah Syariah.
Isu baiah taklik ini bukan sahaja menimbulkan konflik dan polemik di kalangan pimpinan dan ahli PAS serta pimpinan dan penyokong AMANAH bahkan melarat dan berjangkit kepada masyarakat umum.
Pelbagai bentuk kenyataan yang berkisar tentang kewajaran, kesahihan, kesan dan akibat baiah taklik tidak menyelesaikan masalah ini malah memburukkan lagi keadaan.
Masyarakat umum yang tidak mempunyai ilmu dan kemahiran dalam isu ini juga sudah mula masuk ke gelanggang dan meluahkan pandangan, keyakinan dan persoalan sendiri melalui saluran media sosial.
Isu ini tidak wajar dicampak ke ruang perdebatan umum dengan sewenang-wenangnya memandangkan ia berkait dengan hukum syarak.
Kita harus merujuk kepada golongan yang ahli dan faham usul dan furuk permasalahan ini sebagaimana firman Allah:
“Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah An-Nahl, ayat 43)
Tinggalkan perbahasan yang tidak seharusnya kita bincangkan melalui mahkamah umum ini.
Pihak berkenaan seharusnya merujuk kepada mereka yang berkelayakan dan berkuasa untuk memutuskan berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah.
Ini juga tuntutan dan suruhan Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.
“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
“Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah An-Nisa’ ayat 59)
Dalam konteks pemakaian dalil ini, Mahkamah Syariah adalah pihak berkuasa (Ulil-Amri) dan berkelayakan untuk memutuskan dan menghurai isu yang dibangkitkan dalam di kalangan masyarakat awam.
Pihak yang berkenaan haruslah segera merujuk dan meletakkan kepercayaan kepada keadilan mahkamah bagi memutuskan status dan penyelesaian kekusutan seputar baiah taklik ini.
Perbahasan dan pembuktian dalil serta hujah di luar mahkamah tidak akan menyelesaikan masalah memandangkan keabsahan dan pemakaiannya fatwa atau pandangan seseorang ulama tidak boleh melangkaui bidang kuasa dan kelayakan Mahkamah Syariah.
Bidang kuasa ini meliputi urusan dan status seseorang Muslim berkaitan pernikahan dan perceraian – dalam konteks ini baiah taklik. Perkata ini termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri.
Justeru, bawalah segala hujah, dalil, saksi dan keterangan ke mahkamah untuk menyelesaikannya dengan secepat mungkin.
Apa yang paling penting, jujurlah pada diri sendiri dan berpeganglah kepada keadilan walaupun pahit untuk dihadapi sebagaimana dinyatakan Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu.” (Surah An-Nisa ayat 135)
MUHAMMAD NOR ABDURRAHIM penuntut Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia.

