Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gesaan Datuk Zaid Ibrahim untuk Pakatan Harapan, khususnya DAP menunjukkan cara untuk membantu orang-orang Melayu di negera ini sangat menarik untuk diwacanakan.

Umno telah pun membuktikan bahawa MARA dan UiTM umpamanya adalah simbol komitmen mereka pada kepentingan Melayu.

Bagaimanapun, isu wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak bukan isu Melayu. Itu isu keluarga perdana menteri.

Pakatan Harapan perlu membuktikan bahawa mereka lebih menjaga kepentingan Melayu. Jika tidak, melayu akan dikelirukan oleh para pemimpin Umno dan BN lagi pada pilihan raya umum nanti.

Umno sejak lima dekad lalu telah pun menjadikan isu bangsa, Islam dan raja-raja (3R) sebagai teras perjuangan mereka.

Kalau pembangkang mahu bergerak dalam kerangka yang sama, natijahnya akan sama, iaitu rakyat akan terus diperbodohkan oleh orang-orang politik.

Jika mengguna corak politik sama, natijahnya juga pasti sama.

Kerana itu, elok jika Pakatan Harapan melorongkan politik bijak dalam kerangka politik ekonomi.

Rekod kebajikan yang dilakukan oleh Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang menyentuh kepentingan Melayu dan Islam harus dirai di peringkat nasional supaya orang-orang Melayu tidak bertanya soalan kosong seperti Zaid Ibrahim.

Sebagai contoh, di Pulau Pinang, Ketua Menteri Lim Guan Eng bertegas menolak sebarang pelan kebenaran merancang yang dimohon oleh tuan tanah Kampung Mutiara selagi tuntutan penduduk asal tidak diambil kira. Akhirnya tindakan itu membatalkan langkah pengusiran di kampung Melayu berkenaan.

Di Kuala Lumpur, ada kampung Melayu akan lenyap tidak lama lagi di sebalik penubuhan Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) di bawah kerajaan pusat tidak lama lagi, walaupun Umno/BN menguasai Putrajaya.

Apa yang saya ingin nyatakan, jika kalau politik tanah air masih dalam kerangka agama, ras dan raja-raja, selagi itu keyakinan rakyat khususnya orang-orang Melayu terhadap Pakatan Harapan tidak boleh dipupuk.

Tetapi, jika Pakatan Rakyat berjaya membawa pemikiran majoriti rakyat ke medan politik ekonomi, orang Melayu pun akan percaya bahawa Putrajaya akan lebih baik jika tidak lagi berada di bawah Umno/BN.

Kita boleh lihat orang-orang Melayu di Kampung Mutiara berasa untung di bawah kerajaan negeri Pulau Pinang, berbanding orang-orang Melayu di Kampung Baru yang menunggu rumah mereka dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lama lagi.

Bagi Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Pakatan Harapan harus menghentikan budaya saling bercakaran secara dalaman, sama ada di Selangor mahu pun Kelantan.

Pakatan Harapan mesti kembali fokus pada politik ekonomi kerana rakyat mahu tahu – apakah wawasan anda dalam memulihkan semula ekonomi negara dan mata wang Ringgit Malaysia.

Usaha menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak melalui undi tidak percaya di Dewan Rakyat adalah tidak memadai.

Tekanan dalam isu RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib Razak di dalam negara juga tidak memadai. Pakatan sepatutnya mempengaruhi PBB untuk melakukan sesuatu dalam hal ini.

Sesungguhnya rakyat amat bosan apabila Pakatan Harapan pun dua kali lima macam Umno/BN kerana saling bercakaran.

Mahasiswa dan rakyat senantiasa menilai Pakatan Harapan di PRU14.


MUHAMMAD WAFIUDDIN ROSLI presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Lihat Komen
ADS