Saya mengutuk sekeras-kerasnya sikap kerajaan BN yang membelakangi manifesto mereka ketika pilihan raya umum untuk “meningkatkan kehidupan warga bandar” serta “menangani kos sara hidup”.

Bukan sahaja begitu, malahan mereka juga tidak mengerti jerit perih rakyat dengan meningkatkan bayaran tol di 18 buah lebuh raya sekitar Lembah Kelang.

Peningkatan bayaran yang terlalu tinggi ini juga semakin meningkatkan bebanan hidup rakyat yang sedia terdesak oleh cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kejatuhan ekonomi serta mata wang ringgit.

Pembangkang telah bertahun-tahun meminta supaya kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi lebuh raya serta cadangan kenaikan tarif tol kerana ia amat berkait rapat dengan kemaslahatan rakyat, terutamanya penduduk bandar.

Namun, kerajaan BN seperti memekakkan telinga daripada suara-suara ini dan terus melindungi proksi mereka dengan perjanjian gelap konsesi tol.

Ini semakin membebankan dan menyukarkan kehidupan rakyat apatah lagi ditambah dengan peningkatan harga barangan.

Sebagai contoh, lebuh raya Cheras-Kajang yang dibina dan diselia oleh Grand Saga.

Merujuk kepada laporan kewangan syarikat berkenaan pada 2011, kecuali tahun 2005 dan 2007, mereka berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM 142 juta daripada kutipan tol.

Beban dua arah

Ditambah pula dengan pampasan sebanyak RM 105 juta yang dibayar oleh kerajaan kerana lewat menaikan kadar tol, maka jumlah yang diperoleh adalah sebanyak RM 247 juta.

Ini merupakan angka yang diperoleh pada empat tahun lepas, namun ia tetap dapat membuktikan bahawa kebanyakan syarikat konsesi telah mendapat pulangan modal, malahan boleh mengaut keuntungan besar dengan hanya bergantung kepada kutipan tol sahaja.

Tetapi, rakyatlah yang terpaksa menanggung beban ini.

Saya juga mencadangkan kerajaan supaya merujuk kepada peraturan-peraturan lebuh raya China, yang mengehadkan lebuh raya untuk mematuhi prinsip pulangan yang berpatutan, kutipan tidak boleh melebihi 25 tahun.

Bagi kawasan tengah dan barat China pula adalah 30 tahun.

Beliau berkata, walaupun China mempunyai kerajaan Komunis, namun mereka tetap boleh merangka dasar yang adil dan munasabah, mengapa pula kerajaan Malaysia yang dipilih melalui sistem demokrasi tidak mampu berbuat demikian?

Beliau juga berkata, kerajaan mengumumkan naik turun harga minyak dan berjanji untuk menggunakan subsidi minyak yang telah ditarik balik diguna untuk membangunkan sistem pengangkutan awam.

Namun pengangkutan awam yang efisien masih belum ditemui oleh penduduk bandar.

Ini menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada kenderaan persendirian.

Pada masa yang sama, kerajaan meningkatkan harga minyak dan bayaran tol, rakyat yang kekurangan pengangkutan awam sebagai alternatif terpaksa menghadapi bebanan dari dua arah.

Ditambah pula dengan pelaksanaan GST yang memberi kesan terhadap ekonomi negara, rakyat Malaysia kini bagai hidup dalam kesengsaraan.


Ng Tien Chee anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Selangor.