Kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) secara mengejut di majlis rumah terbuka perdana menteri di Kepala Batas telah menimbulkan kegusaran di kalangan sesetengah pihak, bukan sahaja di kalangan beberapa pimpinan Umno, namun rakyat dan mereka yang mengikuti perkembangan politik DSAI.
Anwar menjelaskan bahawa kehadirannya ke rumah terbuka Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kepala Batas, hanyalah sekadar untuk memperbaharui silaturrahim, mengucapkan tahniah kepada beliau, di samping menyampaikan ucapan Aidilfitri. Namun ada satu persoalan yang tidak terjawab.
DSAI adalah seorang ahli politik dan semua tindak-tanduk dan kenyataannya, tidak dapat lari daripada politik semasa. Ini penting terutamanya apabila keadaan semasa masih samar-samar mengenai agenda masa depan politik Malaysia dan DSAI. Tindakan beliau ke Kepala Batas tidak membantu sama sekali.
DSAI sebelum ini menyanyi mengikut 'penonton' tertentu. Malah kalau dikaji, ini hanyalah retorik semata-mata dan mempunyai pandangan dan pendekatan yang berlainan dan bertentangan. Ini terbukti dalam pendekatan yang lain di pentas Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS. Persoalannya sekarang ialah apa pula cerita di Kepala Batas (Umno).
DSAI tidak bersikap terbuka dan tidak mencorak satu agenda jelas untuk masa depan politik negara. Apa yang dilakukan oleh beliau adalah mencorak dan membentuk masa depan politik peribadi beliau. Apa gunanya, kerana yang kita harapkan adalah satu politik baru. Politik baru hanya menjadi alat untuk DSAI dalam ceramah beliau, tetapi beliau tidak menyatakan apa dia politik ini.
DSAI bersikap feudal dan tidak terbuka dalam agenda politik negara. Ini kerana beliau tidak berhasrat untuk membawa agenda rakyat. DSAI adalah bekas timbalan perdana menteri Malaysia. Adalah penting untuk beliau bertemu perdana menteri dalam satu 'equal terms' dan duduk sama tinggi dan membawa agenda rakyat. Agenda rakyat beliau mesti datang dari masyarakat umum dan dari satu konsultasi umum. Ini harus jelas.
Namum, kini DSAI sudahpun bertemu perdana menteri dan apa matlamat seterusnya? Adakah wujud apa-apa percubaan untuk membentuk agenda rakyat dan konsultasi umum? Tidak. Adakah kita tahu apa yang akan dibincang oleh DSAI dengan perdana menteri apabila ada satu pertemuan nanti?
DSAI bersandiwara dan bersikap feudal dan hanya mementingkan diri sendiri dan politik beliau. Inilah sebabnya kenapa beliau masih berdolak-dalih dan bersifat tertutup. Apapun alasan DSAI, ini tidak munasabah kerana politik baru memerlukan satu keterbukaan serta agenda jelas dari rakyat dan bukan DSAI.
Pertemuaan beliau dengan perdana menteri baru-baru ini dilihat sebagai satu lagi percubaan beliau untuk mengambil hati golongan Umno/Pak Lah, sepertimana beliau lakukan kepada golongan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dalam PKR dan ulama dalam PAS.
Apa yang berlaku sekarang adalah 'typical of DSAI'. Masuk kandang kambing mengembek dan lain pula bunyinya bila masuk kandang kerbau kelak. Yang jelas, sandiwara seperti ini pernah beliau lakukan sebelum ini dan jelas hanya untuk politik beliau.
Adakah ini budaya politik baru Malaysia atau jalan untuk mengelentong rakyat sekali lagi?
