Pemimpin Malaysia yang telah berkumpul di Bosphorus, Istanbul, Turki pada 17 Oktober mendesak seluruh rakyat Malaysia agar bersatu demi menyelamatkan negara dari ancaman perkauman, fahaman agama yang sempit, ekstremis dan sikap tidak bertolak ansur.

Malaysia sedang menghadapi saat paling getir kerana terpaksa menghadapi isu kritikal melibatkan aspek politik, ekonomi, sosial dan hubungan antara kaum.

Kami menggesa seluruh rakyat agar bersatu padu untuk menyelamatkan Malaysia demi memastikan kita tidak terjerumus ke kancah huru-hara yang memusnahkan harapan.

Kami berharap Malaysia dapat bangkit dari krisis ini melalui transisi demokratik ke arah usaha membina Malaysia sebagai sebuah negara contoh yang moderat dan bertoleransi untuk dicontohi dunia.

Seruan kami ini juga ditujukan kepada ahli parlimen Umno dan BN agar turut sama menjadi elemen penting untuk melakukan perubahan secara demokratik semasa parlimen bersidang bermula pada hari ini.

Dalam konteks ini, kami mengalu-alukan pertemuan bersejarah yang telah mempertemukan bekas pemimpin veteran Umno dan BN termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Seri Shafie Apdal, Tun Ling Liong Sik dan Tan Sri Ong Tee Keat.

Kami menggesa agar kesemua pemimpin veteran Umno/BN ini dapat bergerak selangkah ke hadapan untuk merealisasikan perubahan yang dapat memberi kesan terhadap sidang parlimen yang bakal berlangsung nanti.

Bosphorus adalah selat yang menghubungkan antara benua Eropah dan Asia. Maka para pimpinan politik berhimpun di sini dengan semangat harapan baharu untuk Malaysia dan negara akan bangkit menjadi obor harapan baru dipentas dunia.

Selaku bangsa Malaysia berdaulat. Marilah kita bersatu selamatkan Malaysia dalam semangat Rukunegara.

NURUL IZZAH naib presiden PKR. Kenyataan ini turut ditandatangani timbalan presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dan pengarah pendidikan politik DAP, Liew Chin Tong.