Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) berharap Bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada hari Jumaat mengetengahkan soal menangani kos sara hidup, terutama langkah menurunkan harga barang.

Biarlah Bajet 2016 menjadi bajet rakyat serta memberi khabar gembira buat semua dan mengambil kira kepentingan golongan masyarakat pelbagai peringkat.

MIPAS berharap Bajet 2016 tidak bebani rakyat. Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kenaikan harga bahan api menyebabkan rakyat ditekan dengan kenaikan kos sara hidup.

Baru-baru ini kadar tol dinaikkan antara 17 hingga 80 peratus bermula 15 Oktober. Langkah ini memberi tekanan terlampau sedangkan rakyat masih dengan bergelut menyesuaikan hidup akibat inflasi yang dicetuskan oleh GST, kejatuhan nilai ringgit dan penarikan subsidi.

Alasan kerajaan kononnya kenaikan tol bagi menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan dan sekolah. Pembinaan sekolah dan hospital dimasukkan dalam belanjawan tahunan dan bukannya datang dengan tiba-tiba.

Sebelum ini kerajaan memberi jaminan tidak akan menaikkan kadar tol sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat.

MIPAS mencadangkan agar dalam Bajet 2016 ini semua produk kesihatan dan ubat-ubatan di farmasi dikecualikan daripada GST.

Barang-barang persekolahan seperti beg, kasut, pakaian dan alat tulis serta peralatan sukan harus dikecualikan daripada GST.

Ini adalah salah satu usaha kerajaan melancarkan kempen gaya hidup sihat untuk menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif.

MIPAS berharap Bajet 2016 akan lebih memberi kesamarataan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit.

Semua rakyat juga seharusnya dapat menikmati diskaun sebanyak 7 peratus bagi pembelian rumah tidak kira bumiputera mahupun bukan bumiputera.


S BARATHIDASAN setiausaha agung MIPAS.