ULASAN Saya merujuk kenyataan Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tan Sri Dr Arshad Ayub seperti yang dilaporkan Bernama pada 23 Oktober 2015, bahawa peluang harus dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera bagi meneruskan pengajian di UiTM untuk peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Ini adalah satu pandangan yang bersifat progresif dan wajar dipertimbangkan dengan serius. Pandangan beliau ini bukanlah sesuatu yang baru dan tidaklah asing untuk warga UiTM keseluruhannya.

Pada masa kini, dengan cabaran global yang semakin meningkat, persaingan adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan lagi.

Bahkan di UiTM sendiri, sudah sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah melonggarkan syarat kemasukan pelajar ke universiti ini dengan membuka ruang kepada pelajar antarabangsa untuk meneruskan pengajian di universiti ini.

Interaksi yang terjalin bukan sahaja membuka ruang pengalaman yang baru untuk siswa, tetapi juga membawa UiTM ke persada antarabangsa.

Namun agak janggal jika pelajar dari negara luar dapat meneruskan pengajian di universiti ini, tetapi pelajar tempatan tidak dapat menikmati dan meneruskan pengajian di universiti ini kerana mereka bukan berstatus bumiputera.

Ibaratnya, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Pandangan pro-canselor ini pastinya dengan niat baik untuk membentuk satu generasi siswa dan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mampu berdaya bersaing di peringkat tertinggi dan berjaya.

Saya berharap pandangan Pro-Canselor ini akan dipertimbangkan dengan serius dan sejujurnya.

Cadangan saya agar usaha ini dimulakan dengan menghargai tenaga pengajar UiTM sendiri yang bukan di kalangan Bumiputera untuk diberikan ruang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di UiTM.

Selepas itu, barulah ia patut dibuka kepada penuntut dari universiti atau sektor lain.

Saya percaya dengan langkah progresif ini, akan melonjakkan lagi kedudukan UiTM ke peringkat tertinggi dan pastinya menjadikan UiTM bukan hanya sekadar sebagai benteng terakhir Bumiputera.

Ia akan turut menjadi medan membangunkan bangsa Malaysia yang berjaya, berdaya saing dan gemilang di peringkat global.


DR AFIF BAHARDIN anggota exco Pulau Pinang dan alumni Fakulti Perubatan UiTM.