Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Bajet 2016 menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hanya memancing rakyat agar terus mengekalkan pemerintahan beliau.

Bajet yang dibentangkan tahun ini tiada beza dengan tahun sebelumnya. Pemberian BR1M dinaikkan dengan alasan membantu rakyat yang dijerut kesusahan.

Namun begitu, pemberian BR1M tidak mampu menampung kenaikan harga barangan akibat implementasi Good and Service Tax (GST) juga kenaikan harga tol lebuh raya.

Bajet 2016 kali ini seolah-olah mengulang skrip sama yang menggunakan pendekatan jangka pendek tanpa memikirkan apa yang akan terjadi pada masa akan datang. Defisit dalam pembentangan bajet saban tahun semakin meningkat.

Langkah untuk menyelesaikan skandal 1MDB juga tidak dinyatakan langsung dalam pembentangan Bajet 2016 walaupun ekonomi negara terjejas dengan skandal 1MDB.

Kerajaan seolah-olah menggunakan Bajet 2016 untuk menutup skandal 1MDB.

Dalam pembentangan bajet 2016, kepentingan pendidikan tinggi tidak diberi keutamaan. Dalam sektor pendidikan, kerajaan dilihat menumpukan kepada pengajian di peringkat menengah dan rendah sahaja.

Mahasiswa hanya mendapat manfaat dari pemberian Baucar Buku 1Malaysia yang kini dihadkan kepada kedai yang berdaftar.

Bukan setakat itu, bajet bagi universiti awam juga telah dipotong sebanyak RM1.4 billion. Kerajaan sepatutnya memberi lebih tumpuan kepada pengajian peringkat tinggi yang banyak menyumbang kepada negara melalui kajian dan sebagai penyambung legasi kepimpinan negara.

Dalam pemberian bantuan keusahawanan dan peningkatan ekonomi, kerajaan masih memisahkan kepentingan mengikut kaum.

Kami melihat perkara ini tidak seiring dengan slogan 1Malaysia yang dilaungkan oleh kerajaan sendiri. Sentimen Dasar Ekonomi Baharu kemungkinan akan berulang akibat perpecahan ini.

Sasaran Malaysia ke arah negara maju masih lagi kabur dan kini menyimpang ke arah negara kebajikan.

Bajet yang dibentangkan seharusnya lebih realistik dengan keadaan semasa rakyat yang mendesak dan dijerut dengan harga barang yang semakin meningkat serta keadaan ekonomi semasa negara yang terjejas dengan kejatuhan nilai mata wang ringgit.


MUHAMMAD WAFIUDDIN ROSLI Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Lihat Komen
ADS