BN jangan guna alasan 'keselamatan'
ULASAN Adakah kerajaan BN cuba merampas sistem perundangan dan demokrasi yang sedia ada dengan membentangkan Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015?
DAPSY mendesak supaya kerajaan menarik balik rang undang-undang ini dengan segera supaya ahli parlimen, pengamal undang-undang dan rakyat berpeluang untuk meneliti, mengkaji dan berunding tentang perkara ini.
Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 memberikan kuasa yang amat luas dan besar kepada Majlis Keselamatan Negara dan perdana menteri.
PM akan berkuasa mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan keselamatan sekiranya kawasan tersebut didapati “diganggu atau diancam dengan serius oleh mana-mana pihak yang menyebabkan bahaya kepada orang ramai” dan juga berkuasa mengeluarkan perintah berkurung.
Kita harus mengambil iktibar bahawa kerajaan pernah memberikan jaminan semasa pembentangan Rang Undang-Undang pada tahun 1960 bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak akan digunakan terhadap ahli pembangkang.
Kita sedia maklum, hakikatnya berbeza selepas ISA diluluskan. Mereka yang memegang kuasa menterjemahkan istilah “ancaman terhadap keselamatan negara” dengan sebegitu luas.
Kita juga sedia maklum lebih daripada 30 ahli politik, ahli akademik, aktivis telah dituduh di bawah Akta Hasutan sejak 2014 sedangkan perdana menteri telah memberikan janji untuk menghapuskan akta tersebut pada tahun 2011.
Cara untuk mengisytihar sesuatu kawasan sebagai satu kawasan keselamatan adalah terbuka kepada tafsiran yang luas. Hal ini membuka ruang untuk penyalahgunaan, sekiranya akta ini diluluskan. Lebih-lebih lagi memandangkan kredibiliti perdana menteri juga dipersoal pada masa ini.
Satu lagi perkara yang perlu dijelaskan adalah sama ada perisytiharan tersebut akan menyebabkan berlaku darurat, di mana sistem pilihan raya ditangguhkan.
Kita boleh melihat bahawa Datuk Seri Najib Razak boleh melumpuhkan institusi yang terlibat dalam penyiasatan skandal 1MDB hanya dengan melantik seorang peguam negara baru.
Untuk tujuan sama, beliau juga melantik empat orang anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang negara ke dalam Kabinet.
Maka, kita boleh bayangkan betapa besar kesannya sekiranya perdana menteri diberikan kuasa yang sebegitu luas dan muktamad dalam Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015.
Sehari sebelum Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 dibentangkan, Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishammuddin Hussein memberikan amaran bahawa IS bercadang untuk menculik tiga orang pemimpin utama negara.
Persoalan yang timbul sekarang, adakah ia sekadar merupakan satu wayang kulit oleh pihak kerajaan untuk menjustifikasi pembentangan Rang Undang-Undang ini dengan melulu? Adakah ini satu usaha kerajaan untuk merampas sistem demokrasi yang sedia ada?
Kami meragui niat kerajaan BN memperkenalkan rang undang-undang ini, yang membawa bayang-bayang POTA, SOSMA dan Akta Hasutan. Perdana menteri pernah berjanji untuk memansuhkan undang-undang tersebut.
Undang-undang sebegini kononnya berniat untuk melindungi keselamatan negara tetapi digunakan untuk melindungi kepentingan peribadi pihak tertentu untuk menindas pengkritik kerajaan.
Janganlah kerajaan BN sekali-kali cuba menggunakan alasan keselamatan untuk mencapai tujuan politik yang tersirat.
WONG KAH WOH ketua DAPSY Kebangsaan dan ADUN Canning.

