Dewan Muslimat PAS mengucapkan syabas kepada kerajaan Arab Saudi yang telah mengizinkan golongan wanita untuk mengundi buat kali pertama pada pilihan raya 12 Disember lepas.

Kerajaan Arab Saudi yang terkenal agak konservatif dengan undang-undang yang ketat terhadap kaum wanita seperti larangan memandu, mengundi, etika berpakaian dan sebagainya kini dilihat tidak mengenepikan peranan wanita dalam isu politik.

Buat kali pertama juga, wanita dibenar menjadi calon dalam pilihan raya majlis tempatan, satu-satunya badan perundangan yang dipilih di negara itu.

Islam telah mengangkat martabat kaum wanita dan mengiktiraf keterlibatan mereka dalam membangun dan mentadbir negara.

Firman Allah Taala (maksudnya):

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama- Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (Al-Nisa: 1)

Sesungguhnya, Islam juga telah mengangkat kedudukan wanita sama seperti lelaki pada nilai insani mereka.

Justeru, Dewan Muslimat menyeru agar semua wanita di Malaysia tidak memandang remeh kewajipan mengundi dan tanggungjawab mengambil perhatian terhadap isu semasa tempatan dan dunia.


NURIDAH SALLEH ketua Dewan Muslimat PAS.