Biro Antarabangsa DAPSY Kebangsaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan BN yang telah menahan dan mengusir Mugiyanto Spini sebaik aktivis hak asasi manusia dari Indonesia itu tiba di KLIA semalam.

Aktivis hak asasi manusia yang tersohor itu datang ke Malaysia atas jemputan BERSIH sebagai seorang ahli panel dalam forum “Gerakan Rakyat Mampu Membawa Perubahan” yang dijadual bermula jam lapan setengah malam tadi.

Beliau merupakan seorang tokoh yang banyak menyumbang dalam usaha menumbangkan rejim Orde Baru di Indonesia.

Mugiyanto antara lainnya dijemput berkongsi pengalaman demokrasi di Indonesia pada zaman 1990-an dan juga gerakan pemuda secara am dalam pembawaan perubahan negara.

Beliau juga pernah memimpin kumpulan mahasiswa di Jogjakarta pada tahun 1999 dalam menubuhkan sebuah organisasi bernama Solidaritas Mahasiswa Indonesia Untuk Demokrasi.

Beliau juga bertanggungjawab dan berjaya membangkitkan kaum pekerja di Surabaya pada tahun 1995 supaya menuntut hak pekerja melalui mogok pekerja.

Badan bukan kerajaan di Indonesia sudah mula menyuarakan tuntutan ke atas pemerintah Indonesia untuk mengecam dan menyampaikan nota bantahan ke atas pelanggaran kebebasan berdiskusi dan berpendapat.

Badan berkenaan juga akan menuntut kerajaan Malaysia menjamin kebebasan berpendapat di Malaysia.

Tindakan kerajaan Malaysia yang begitu zalim terhadap aktivis negara jiran tersebut jelas bertentangan dengan komitmen ASEAN dalam memajukan hak asasi manusia, dan kebebasan bersuara di ASEAN.

Tambahan lagi, tindakan yang begitu melampau terhadap seorang warga negara jiran yang terhormat di negara beliau sendiri adalah sesuatu yang memalukan negara Malaysia di gelanggang antarabangsa.

Begitu jelasnya, kerajaan BN begitu takut kepada individu yang berilmu dalam hal kebangkitan rakyat, serta yang berpengalaman dalam kerja gerakan demokrasi dan hak asasi manusia.

DAPSY dan DAP akan terus berhubung dengan parti rakan kami, iaitu Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), untuk memahami secara lebih mendalam sebab di sebalik pengusiran Sdr Mugiyanto daripada Malaysia. Kami juga akan menambah usaha untuk membawa lebih ramai individu seperti Mugiyanto untuk menyedarkan pemuda Malaysia.

DAPSY juga menuntut supaya Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi mengumumkan sebab di sebalik tindakan imigresen di bawah urusan kementerian beliau, yang begitu memalukan negara kita.


HOWARD LEE CHUAN HOW setiausaha hal ehwal antarabangsa DAPSY kebangsaan dan ADUN Pasir Pinji.