Teliti dahulu tulisan Aduka Taruna
ULASAN Angkatan Muda Keadilan Negeri Sembilan mengutuk sekeras-kerasnya penahanan aktivis masyarakat dan AJK PSM, saudara Khairul Nizam Ghani mengikut Akta Hasutan pada minggu lalu.
Kami melihat bahawa penahanan penulis blog Khairul Nizam atau nama popularnya Aduka Taruna ini merupakan satu tindakan yang amat bertentangan dengan prinsip hak asasi manusia seperti mana yang termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Malaysia.
AMK Negeri Sembilan berpendapat, tulisannya di Facebook yang menjadi pertikaian itu tidak berbentuk penghinaan kepada mana-mana institusi diraja di Malaysia.
Kami melihat, tulisannya hanyalah kritikan yang membina harus menjadi tauladan kepada para pemimpin negara.
AMK Negeri Sembilan meminta agar pihak berkuasa meneliti tulisan beliau dengan berhemah agar rakyat di Malaysia memahami apa yang cuba disampaikan oleh beliau.
Kami menyeru agar pemimpin yang terlibat mengambil sikap rendah hati untuk menerima kritikan kerana ianya tidak lebih dari kritikan seorang rakyat biasa kepada pemimpinnya.
Kami juga berharap pasukan polis di Malaysia menunjukkan sikap telus dalam menjalankan tugas supaya tidak dilihat berat sebelah.
MASHITAH SULAIMAN setiausaha AMK Negeri Sembilan.

