ULASAN Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ingin merujuk kepada kenyataan daripada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia bahawa seluruh Malaysia akan menghadapi cuaca panas bermula Januari sehingga Mac 2016.

Keadaan ini adalah disebabkan oleh kejadian fenomena El Nino yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2016.

Fenomena El Nino ini dijangka boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20 peratus hingga 60 peratus.

Walau pun cuaca panas telah mula dirasai, namun pada masa ini bekalan air di semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan masih lagi dalam keadaan terkawal.

Sehingga ini, SPAN masih belum menerima sebarang laporan kekurangan sumber air disebabkan oleh cuaca panas.

Sehubungan dengan itu, SPAN telah meminta supaya semua negeri melalui operator air masing-masing memantau rapi kedudukan sumber di empangan dan sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji rawatan air di negeri masing-masing.

Ini memandangkan kerajaan negeri bertanggungjawab dalam memastikan sumber air di negeri masing-masing mencukupi untuk memenuhi keperluan.

Selain daripada sumber air di empangan dan sungai, kerajaan negeri juga diminta mengkaji sumber alternatif seperti air bawah tanah dan kolam takungan bagi menambah sumber.

Para pengguna juga dinasihatkan supaya berhemah dalam menggunakan air dan tidak membazir supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama.


DATUK ISMAIL KASIM pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)