Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali semalam berkata dana RM2.6 bilion dari kerabat diraja Saudi diberikan tanpa apa-apa balasan dan sebahagian besarnya telah diserahkan semula.

Sebelum ini, pelbagai helah dan taktik dibuat bagi memastikan isu ini tidak terdedah kepada awam.

Ia menyaksikan kabinet terpaksa dirombak sehingga menyebabkan Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dikeluarkan daripada kabinet.

Umum mengetahui bahawa punca utamanya dikaitkan dengan tindakan dua orang kanan Umno itu yang lantang mengkritik dan menyoal dana asing RM2.6 bilion ini.

Seterusnya peguam negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail ditamatkan kontrak serta pihak Bank Negara Malaysia didakwa ditekan.

Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) juga ditekan dan diasak kuat sehingga kita lihat berlaku pelbagai drama seperti cubaan pertukaran pegawai dan SPRM bertindak melakukan solat hajat perdana.

Tidak pernah perkara ini berlaku dalam sejarah dan SPRM memberi gambaran wujudnya tekanan luar yang cuba mengganggu gugat suruhanjaya itu.

Persoalnya, berbaloikah untuk melindungi Najib sedangkan pelbagai isu lain dalam negara kini yang meresahkan rakyat?

Selepas Apandi mengesahkan bahawa dana itu dari Arab Saudi, maka timbul beberapa lagi persoalan.

Apakah mudah Saudi memberi wang kepada pemimpin negara kita?

Apakah kedaulatan negara ini berharga RM2.6 bilion? Apakah negara ini boleh dibeli dan ditentukan hala tujunya oleh negara luar?

Sesungguhnya kebobrokkan dan kelemahan Najib dalam pentadbiran kita tidak boleh diterima akal.

Beliau sebagai perdana menteri gagal mentadbir urus negara dan gagal menjaga kedaulatan negara.

Bagaimana jika ada pihak lain yang ingin memberi sumbangan peribadi kepada Najib selepas ini dan tidak diketahui awam dengan jumlah yang lebih banyak? Apakah beliau akan terima?

Sebahagian dana asing 2.6 bilion ini dipulangkan pun atas desakan dalaman dan rakyat Malaysia.

Najib perlu segera meletakkan jawatan kerana menggadaikan masa depan negara demi tujuan peribadi.

Cukuplah Datuk Seri, kami sudah muak dan jelik dengan pemimpin yang hanya tahu cakap kosong dan memperjudikan masa depan negara ini.

Malaysia perlukan kepimpinan baru.


MOHAMAD LUQMAN NUL HAQIM pengerusi Gerakan Mahasiswa Selamatkan Negara (GMSN).