Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tahun 2016 menjadi tahun yang semakin tidak menjadi buat kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Isu yang terbaru ialah berkenaan kemelut pentadbiran kerajaan negeri Kedah bawah kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ia bermula selepas beberapa ADUN serta kepimpinan Umno di peringkat negeri dan nasional melancarkan desakan supaya menteri besar Kedah meletakkan jawatan.

Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM) melihat krisis ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri menjadi lumpuh.

Kami juga merasakan tekanan yang dibuat agar Mukhriz meletakkan jawatan jelas bermotifkan politik dan bukan atas faktor salah laku.

Malah pada hemat kami yang seharusnya meletakkan jawatan adalah Najib.

Semenjak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan, negara sering menjadi bahan jenaka negara asing.

Kerajaan juga turut menerima pelbagai asakan berkaitan skandal yang turut dipertikaikan negara-negara lain.

Tidak hanya terhenti di situ, tindakan perdana menteri menggugurkan bekas timbalannya Tan Sri Muhyidin Yassin menjadi antara penyebab mengapa kredibiliti perdana menteri lebih selayaknya dipertikai berbanding dengan Mukhriz.

Ini bukan kali pertama kontroversi pertukaran menteri besar bagi negeri yang ditadbir BN kerana Terengganu juga melalui fasa yang sama pada Mei 2014.

Kepada mereka yang berterusan mendesak sama ada atas alasan permintaan rakyat atau mempunyai kepentingan politik peribadi, sedarlah bahawa rakyat hari ini semakin hari makin terhimpit dengan kos sara hidup yang amat menekan.

Sepatutnya yang ditekankan ialah bagaimana rakyat perlu diberi nafas untuk bergerak bukan dengan permainan politik dendam pimpinan atasan.

ARM juga ingin menzahirkan tahniah kepada pihak Istana Kedah kerana tidak mudah tunduk kepada tuntutan sekelompok yang mendakwa mewakili rakyat Kedah dengan alasan yang negeri Jelapang Padi itu mendambakan perubahan menteri besar.

Rakyat tidak seharusnya menerima akibat dari persengkataan mereka dalam parti.

Namun jika konflik ini kekal berlarutan, hanya ada satu jalan keluar yang terbaik, iaitu serahkan kembali mandat kepada rakyat Kedah.

Lihat Komen
ADS