Awasi pelajar yang bermotosikal secara merbahaya
Generasi muda sekarang betul-betul beruntung. Itulah antara persepsi yang dapat saya dapat berikan apabila melihat generasi yang berada di alam persekolahan pada masa kini. Semuanya serba baru, dari pakaian hinggalah ke alat persekolahan.
Ada sesetengah mereka yang bukan setakat mendapat basikal baru tetapi turut diberikan motosikal dan kereta baru oleh ibubapa yang berkemampuan. Rata-rata semua ibubapa di Malaysia sanggup menghabiskan wang ringgit untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.
Di ruangan ini saya turut ingin meluahkan rasa kurang senang kepada sikap sesetengah ibubapa yang terlalu mengikut kehendak anak-anak tanpa memikirkan faktor keselamatan. Contohnya, saya nyaris-nyaris terlanggar dua pelajar yang menunggang motosikal. Cara mereka menunggangnya betul-betul membahayakan keselamatan.
Memandangkan jarak kawasan perumahan dan sekolah tidak berapa jauh, ramai pelajar menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar. Ada antaranya yang memandu laju dan berlumba-lumba dengan pelajar lain. Tidak kurang juga yang 'melanggar' lampu isyarat dan terus membelok tanpa memberikan isyarat.
Malah, terdapat pelbagai karenah lain yang saya rasa boleh membahayakan keselamatan diri mereka dan pemandu lain. Ada sesetengah pemandu yang mungkin tidak boleh bersabar lagi dengan karenah sesetengah pelajar ini, telah naik berang dan membunyikan hon kenderaan sebagai tanda amaran.
Saya tidak pasti sama ada pelajar-pelajar yang menunggang motosikal ini mempunyai lesen memandu atau tidak. Jika berlaku kemalangan, pasti kami para pemandu yang dipersalahkan dan bukannya pelajar sedangkan hakikatnya, mereka sering tidak mematuhi undang-undang dengan memandu secara merbahaya.
Saya rasa perkara ini perlu di ambil perhatian serius oleh pihak ibubapa dan sekolah. Ibubapa mestilah memastikan anak mereka mempunyai lesen yang sah. Pemantauan juga perlu dilakukan dengan mempastikan anak mereka memakai topi keledar. Jika ibubapa betul-betul prihatin dan sayang kepada si anak, pasti mereka tidak membenarkan anak mereka memandu tanpa lesen yang sah.
Kadangkala geram juga apabila ada sesetengah ibubapa kurang mementingkan faktor keselamatan dengan tidak memakai topi keledar ketika menghantar anak ke sekolah. Kalau di kawasan kampung, saya tidak berapa risau kerana lalulintas yang kurang sesak. Ini di kawasan Sikamat, yang berhampiran bandar Seremban.
Kakitangan kerajaan dan kakitangan swasta kebanyakannya berkenderaan untuk pergi bekerja seiring dengan waktu pelajar ke sekolah. Kesesakan sudah pasti tidak dapat di elakkan. Pihak sekolah juga mesti turut memainkan peranan dengan mendapatkan rekod jumlah pelajar bermotosikal, berbasikal, menaiki kenderaan awam serta melakukan pengawasan. Guru-guru perlu mengingatkan pelajar mengenai soal keselamatan memandangkan kes kemalangan meningkat setiap hari.
Pihak polis juga sewajarnya turun padang dan membuat sesuatu mengenai perkara ini. Mungkin dengan mengadakan pemeriksaan mengejut di waktu pagi bagi mengenalpasti pelajar-pelajar yang memandu tanpa mematuhi peraturan. Sebagai contoh, pelajar-pelajar yang memandu tanpa topi keledar ini perlu diberikan amaran bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa kemalangan.
Bagi pelajar-pelajar yang tidak mempunyai lesen, ibubapa perlu dikenakan tindakan mahupun amaran. Tidak kurang juga, kita selaku ahli masyarakat, mesti turut memainkan peranan. Mungkin yang memandu itu anak jiran kita, anak saudara kita dan sebagainya. Kita turut bertanggungjawab untuk menasihati ibubapa mereka.

