Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya terpanggil untuk mengalu-alukan kenyataan berani dari Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang menuntut agar satu reformasi sistem dilakukan untuk negara ini.

Kenyataan beliau ini harus menjadi suntikan semangat untuk majoriti anak muda untuk turut sama dalam gerakan menuntut reformasi sistem yang menyeluruh di negara ini.

Tuntutan reformasi sistem ini adalah perjuangan panjang majoriti rakyat Malaysia yang mahu menyaksikan perubahan di negara ini.

Krisis kepimpinan, ekonomi dan keyakinan yang berlaku sekarang ini adalah satu ancaman kepada masa depan negara dan kehidupan rakyat hari ini.

Krisis yang negara hadapi sekarang adalah bermula dengan masalah kepimpinan negara – yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan akibat ketempangan dan kebobrokan sistem pentadbiran beliau.

Skandal 1MDB dan ‘derma’ RM 2.6 bilion telah mengakibatkan keyakinan rakyat terhadap institusi pemerintah berada di tahap paling kritikal.

Lebih parah, ketirisan, rasuah dan penyelewengan yang berterusan telah mengakibatkan negara bergelumang dengan masalah hutang dan pembaziran dana awam yang berleluasa.

Keyakinan pelabur dan peniaga yang merosot telah menambahkan lagi kegawatan kepada krisis ekonomi yang kian meruncing.

Kos sara hidup yang terus meningkat, kurangnya peluang pekerjaan dan keperitan rakyat untuk meneruskan kehidupan sehari-hari menjadi bukti kegagalan pemerintah untuk mengatasi krisis ini secara menyeluruh.

Tindakan perdana menteri dan pemerintah untuk terus mempergunakan seluruh aparatus kerajaan bagi menyekat suara tuntutan rakyat juga menjerumuskan lagi negara ke arah kehancuran.

Kegagalan peguam negara dan Polis Diraja Malaysia untuk bertindak secara adil dalam skandal yang didakwa membabitkan perdana menteri mengeruhkan lagi krisis yang dihadapi negara.

Penahanan dan pendakwaan bermotif politik dan pencabulan hak asasi rakyat mempergunakan pelbagai akta; Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Perhimpunan Aman, Akta Keselamatan Negara, serta penggubalan Akta Majlis Keselamatan Negara yang memberikan kuasa besar kepada perdana menteri adalah satu ancaman kepada sistem demokrasi dan raja berperlembagaan negara ini.

Saya yakin, kami majoriti anak muda negara ini, merentasi batas-batas kaum, agama, ideologi dan pegangan politik mendambakan satu kerangka baru untuk membawa Malaysia ke hadapan.

Kami terinspirasi dengan pandangan-pandangan bernas dan berani dari negarawan negara yang mengenepikan kepentingan sempit parti politik mereka untuk mengungkapkan kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.

Kami anak muda percaya sudah sampai masanya kita membuka lembaran baru dalam sejarah Malaysia.

Kita perlu memiliki keberanian dan keyakinan untuk memulakan sesuatu yang baru di Malaysia.

Kita perlu belajar dari sejarah tetapi kita tidak boleh dibelenggu oleh pengalaman pedih masa lalu atau leka dibuai oleh keselesaan masa lampau.

Masanya telah tiba untuk kita keluar dari belenggu lama dan mencipta sejarah baru yang tersendiri.

Kami anak muda bersedia untuk berada di barisan hadapan untuk membuka lembaran baru ini.

Kami yakin majoriti rakyat juga bersedia untuk bersama melakukan perubahan.

Anak muda dan sekalian rakyat bersedia untuk digerakkan bagi mencorak masa depan yang baru demi Malaysia yang tercinta.

Kesatuan baru yang dianjurkan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, agar semua pihak bersatu dengan hasrat untuk mengambil-alih tampuk kepimpinan negara wajar disahut dengan hati terbuka dan demi kepentingan rakyat bersama.

Tidak timbul lagi keraguan bahawa kepimpinan negara yang lemah dan korup wajib ditukar segera.

Rakyat meletakkan harapan besar kepada kepimpinan baru untuk menyelamatkan negara ini dari tangan pemerintah yang zalim.

Sudah tiba masanya pemimpin-pemimpin yang terbukti kepimpinannya dan berjuang untuk merealisasikan tuntutan reformasi diangkat oleh setiap pihak dan kelompok untuk ditawarkan sebagai ganti kepada perdana menteri dan pemerintah sekarang.

Pemimpin yang dipilih haruslah yang isitqamah kepada agenda perubahan yang dicita-citakan rakyat dan mampu memimpin di kala proses reformasi itu mengambil tempat.

Saya menyeru agar satu rundingan bersama dengan menghimpunkan semua pihak dan kelompok; parti-parti politik, organisasi bukan kerajaan, ilmuwan, pemimpin dan individu untuk membentuk satu gabungan besar bagi mendukung cita-cita reformasi dan berhadapan dengan rejim Najib Razak dan BN hari ini.

Gabungan ini haruslah bersatu berpaksikan kepada agenda perubahan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang adil, amanah dan jujur serta demi menyelamatkan Malaysia.


Dr AFIF BAHARDIN timbalan ketua Angkatan Muda PKR.

Lihat Komen
ADS