Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merujuk kepada laporan portal berita Malaysiakini semalam bertajuk " Sultan mahu akhbar lapor pemimpin rasuah tanpa gentar " dan The Malaysian Insider bertajuk "Rasuah wajib ditangani secara bersungguh, titah Sultan Nazrin".

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah melahirkan kegusaran baginda terhadap masalah rasuah yang membelenggu negara ini.

Baginda juga bertitah agar akhbar melaporkan sebarang salah laku rasuah tanpa bersikap memihak, tanpa gentar, tanpa berat sebelah kerana rasuah ialah rasuah walau siapa yang melakukannya.

Pihak Biro Pemantauan dan Integriti (BPI) PERKASA merafak sembah setinggi tahniah di atas titah Tuanku Sultan Nazrin tersebut dan merasa bertuah negeri Perak mempunyai seorang raja yang bijaksana dan memahami denyut nadi rakyat jelata.

Dalam era yang penuh kemelut dari segi kepimpinan dan ketidaktentuan ekonomi negara kerana terpalit dengan kesan krisis yang sedang melanda negara, titah Tuanku Sultan Nazrin agar semua rakyat jelata diasuh untuk membenci amalan rasuah dan menolak mana-mana pemimpin yang melakukannya, adalah amat-amat dihargai oleh rakyat.

Ini menunjukkan bahawa raja-raja Melayu yang merupakan tunggak kepada negara ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin politik yang terbabit dengan amalan rasuah.

Rakyat negara ini rata-ratanya sudah muak, hari demi hari, pendedahan demi pendedahan dibuat oleh pelbagai pihak termasuk akhbar tentang perilaku rasuah dan penyalahgunaan yang bagaikan tiada penghujung.

Pihak biro ingin memuji akhbar Utusan Malaysia melalui edisi mingguannya, baru-baru ini mendedahkan berkenaan penipuan syarikat-syarikat pengimport besi yang cuba lari daripada membayar duti antilambakan yang menyebabkan negara kerugian berbilion-bilion ringgit.

Tindakan berani daripada pihak media adalah amat dialu-alukan, dan percayalah rakyat sentiasa di belakang kalian semua.

Pihak Biro mencadangkan agar satu gerakan khas rakyat untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, yang terdiri daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, para wartawan, tokoh-tokoh akademik dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dibentuk secepat mungkin.

Ini supaya suatu tindakan kolektif yang melibatkan kesemua pihak boleh dibuat dengan efektif.

Setiap anggota kepada gerakan ini ada peranannya tersendiri dan tentunya pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan peranannya yakni akan menjadi penghubung dengan rakyat manakala para wartawan pula berjuang dengan ketajaman penanya.

Pihak biro akan terus melahirkan sokongan tanpa belah bagi kepada akhbar-akhbar khususnya Utusan Malaysia dan portal-portal berita yang berani untuk melaporkan isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa tanpa rasa gentar dan tidak memihak.

"Masakan pokok semakin bergoyang, jika tiada angin yang meniupnya."

Daulat tuanku.


AZRUL AKMAL SAHARUDIN anggota Dewan Tertinggi merangkap setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti PERKASA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS