Merujuk laporan akhbar Kosmo! bertajuk "Hutan Bakau Benteng Tsunami Cuba Dimusnahkan" bertarikh 2 Mac 2016, laporan ini adalah tidak tepat dan tidak memberi gambaran sebenar tentang perkara ini. Kerajaan negeri telah bercadang untuk membangunkan tanah milik kerajaan ini sebagai kawasan industri akuakultur moden yang pertama di Malaysia menepati piawaian yang ditetapkan selepas kajian Penilaian Dampak Alam Sekitar atau Detailed Environemntal Impact Assessment (DEIA).

Kawasan paya bakau ini telah digazetkan oleh kerajaan negeri sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) demi membangunkan projek akuakultur bagi menampung keperluan sumber makanan rakyat di Pulau Pinang (food security). Projek ini juga belum dilaksana dan masih dalam tempoh kajian daripada semua agensi terlibat. Selain itu, untuk makluman, masih belum ada pokok bakau yang ditebang di kawasan paya bakau ini oleh sesiapapun.

Projek ZIA Penaga adalah berpandukan dan dirujuk kepada Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta masih dalam proses menunggu Laporan Lengkap Penilaian Kesan Alam Sekitar (DEIA) daripada Jabatan Alam Sekitar. Sehingga keputusan DEIA belum diterima, maka kerajaan negeri tidak akan memberi keizinan pengusaha untuk meneruskan projek ini. Sehingga kini tiada sebarang kerja tanah dijalankan di tapak Projek ZIA Penaga dan proses pendengaran awam (public hearing) akan dibuat ketika proses DEIA berjalan.

Merujuk kepada dakwaan bahawa hutan paya bakau Penaga yang merupakan benteng bencana tsunami yang berlaku pada tahun 2004 adalah tidak tepat. Ini kerana kedudukan geografi Pantai Penaga itu sendirinya terlindung dan tidak berada dalam laluan tsunami ketika kejadian bencana itu pada 2004.

Saya juga nempersilakan semua pihak yang berminat atau khuatir mengenai cadangan perlaksanaan projek ini boleh berhubung terus dengan pihak Kerajaan Negeri untuk terus mendapatkan penerangan dan penjelasan mengenai perkara ini.


DR AFIF BAHARDIN merupakan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Desa serta Ketua AMK Pulau Pinang.