Perak bakal terlepas lapangan terbang?
Pemuda AMANAH Negeri Perak sungguh merasa sedih jika benar bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim atau lebih dikenali sebagai KXP bakal dibina sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Besar Baru Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Ini kerana kerajaan negeri Perak melalui Datuk Seri di-Raja Dr Zambry Abd Kadir telah terlebih dahulu memohon kepada kerajaan pusat pada 13 Januari 2011 agar lapangan terbang baru di Lembah Bariah, Bagan Serai dibina di Perak.
Bagi kerajaan Kedah pula, menteri besar sebelum ini iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengemukakannya pada sekitar tarikh 12 Jun 2014 tetapi kini mendapat persetujuan oleh Datuk Seri Najib Razak.
Persoalan kami daripada Pemuda AMANAH Perak, adakah berlaku krisis dalaman Umno barulah kerajaan pusat pimpinan Umno akan berikan apa sahaja untuk menutup ‘mulut’ rakyat di dalam negeri tersebut seperti apa yang berlaku di Kedah pada masa kini?
Bagi kami, jika kerajaan Perak pada masa kini di bawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH), sudah tentu kerajaan pusat akan memberikan keutamaan kepada rakyat Perak dan kini kita bakal memiliki lapangan terbang baru tersebut.
Mungkin kerana di Perak tiada krisis sepertimana di Kedah, maka tidak merasalah rakyat Perak untuk mendapat ‘durian runtuh’ sepertimana yang bakal dinikmati oleh rakyat Kedah.
Kalau Datuk Seri Mukhriz masih kekal sebagai menteri besar, mungkin Kedah akan menerima nasib yang sama seperti di Perak.
Dengan lawatan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Sri Liow Tiong Lai baru-baru ini ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Perak bagi membincangkan mengenai pembesaran landasan LTSAS tersebut jelas membayangkan bahawa tiada lapangan terbang baru bakal dibina di Perak nanti.
MOHD FITRI ASMUNI Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak.

