Satu memorandum persefahaman mengenai aktiviti kerjasama undang-undang antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Republik Bulgaria telah ditandangani oleh Tan Sri Mohamed Apandi Ali, peguam negara Malaysia dan Tuan Yang Terutama Daniel Mitov, menteri luar negeri Republik Bulgaria pada hari ini di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya.

Memorandum persefahaman tersebut bertujuan mewujudkan suatu platform bagi mengadakan hubungan kerjasama umum mengenai perkara-perkara yang melibatkan perundangan antara kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Jabatan Peguam Negara, dengan kerajaan Republik Bulgaria, yang diwakili oleh Kementerian Keadilan Republik Bulgaria.

Memorandum Persefahaman ini bukan sahaja bakal menguatkan lagi hubungan profesional di kalangan pegawai undang-undang kedua-dua negara yang telah sedia wujud, malah kerjasama yang bakal dijalankan adalah merupakan suatu forum yang penting bagi pertukaran maklumat, pengalaman, pengetahuan dan amalan-amalan baik terutamanya yang melibatkan isu undang-undang untuk kepentingan bersama kedua-dua pihak.