Pada 18 Januari lalu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak melantik pengendali sementara pasukan kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee sebagai Ketua Jurulatih bagi skuad senior Malaysia.

Anak kelahiran Melaka itu tidak asing lagi dalam kancah bola sepak antarabangsa apabila pernah berkhidmat selaku pengendali Harimau Muda A dan juga pernah memimpin Malaysia bermain di Sukan Asia Incheon pada 2014.

Pasukan kebangsaan kini berwajah baharu setelah dijenamakan semula dengan Harimau Malaysia. Namun setakat kelmarin masih belum mencatatkan sebarang kemenangan untuk aksi tahun ini.

Kekalahan 2-0 ke atas Arab Saudi di Jeddah pada Jumaat lalu mendapat pujian positif oleh Kim Swee walaupun menerapkan taktikal bertahan sehingga menyukarkan pasukan bimbingan Bert Van Marwijck menembusi gawang gol Malaysia pada separuh masa pertama.

Kelmarin pasukan Malaysia dimalukan oleh Macau dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Gagal menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut nyata mengecewakan peminat tempatan kerana lawan rata-rata dibarisi pemain separa profesional bahkan jurulatih mereka juga adalah editor sukan sebuah stesen televisyen berbanding pemain negara yang bergaji puluhan ribu namun gagal untuk mendapat keputusan positif ke atas Macau.

Peminat bola sepak tempatan pasti menyandarkan harapan tinggi kepada Ong Kim Swee supaya dapat membaiki semula pasukan kebangsaan selepas mengalami nasib malang pada 2015 dan diharapkan tidak berulang lagi pada masa akan datang.

Selain itu, FAM perlulah bersikap realistik dan tidak hanya memandang saingan dwi tahunan Piala AFF sebagai sasaran utama mereka.

Lihat Thailand kini muncul pasukan terbaik Asia Tenggara dan menghuni tangga ke 118 dunia manakala Malaysia pula 165 dunia. Nampak jauh bezanya dan kita sudah jauh ditinggalkan negara jiran.

Aksi pasukan kebangsaan seterusnya pada 28 Mei ini dan akan bermain untuk saingan kelayakan Piala Asia 2019 yang dijadualkan awal Jun nanti.

Semoga tahun 2016 akan membuka lembaran baru buat pasukan kebangsaan.


AHAS HAIKAL Pembaca Malaysiakini