Pihak Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salah Guna Kuasa PERKASA mengambil maklum jawapan daripada ketua polis negara berkenaan soalan yang dilemparkan oleh biro kepada beliau semalam sepertimana dilaporkan oleh portal berita Malaysiakini .

Jawapan ketua polis negara ini diterima tanpa prejudis dan berasaskan kepada penjelasan fakta yang dibuatnya sendiri. Selebihnya, biro tidak dapat membuat apa-apa rumusan.

Jawapan yang cepat dan pantas sebegini patut dijadikan contoh oleh semua penjawat tinggi awam termasuklah menteri kerana ia membantu meleraikan spekulasi yang boleh "membusukkan" integriti sesuatu organisasi.

Di atas prinsip urus tadbir yang baik, apa-apa sahaja isu yang disuarakan rakyat terutama yang melibatkan integriti sesuatu organisasi penting dalam kerajaan mestilah dijawab dan diperjelaskan secepat mungkin untuk mengelakkan persepsi yang boleh mencalarkan imej organisasi terbina.

Pihak biro juga ingin menasihatkan agar semua penjawat tinggi awam supaya tidak sombong dalam menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan rakyat.

Jangan ingat diri sudah berada di atas, maka segala persoalan-persoalan daripada rakyat dipandang enteng sahaja.

Mereka perlu ingat, mereka bukan sahaja membawa diri mereka sebagai individu malah membawa imej dan kehormatan organisasi mereka.

Pihak biro akan terus bersuara demi rakyat, demi mendapatkan kebenaran.


AZRUL AKMAL SAHARUDIN pengerusi Biro Integriti, Anti-Rasuah dan Salah Guna Kuasa merangkap anggota Dewan Tertinggi PERKASA.