Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda AMANAH negeri Perak mengucapkan jutaan tahniah kepada Pasukan Perak The Bos Gaurus atas kejayaan menempah slot ke pusingan Piala Malaysia 2016 meskipun mempamerkan aksi turun naik sejak awal musim lalu.

Kejayaan ini harus menjadi pembakar semangat keseluruhan pasukan dan memadam kekecewaan apabila gagal ke final Piala FA selepas tewas di laman sendiri kepada pasukan PKNS Selangor minggu lalu.

Para penyokong sangat mengharapkan skuad Seladang menampilkan aksi yang lebih meyakinkan dalam mengharungi Piala Malaysia berdepan pasukan-pasukan yang berkualiti.

Platform ini adalah peluang pasukan ini menebus kehampaan penyokong dengan meraih kejayaan yang membanggakan.

Sokongan yang diberikan oleh para penyokong tidak boleh dipandang enteng apabila stadium tidak pernah lengang walaupun ada pasang surutnya atas beberapa faktor termasuklah prestasi pasukan.

Pasukan perlu memecah kebuntuan kejayaan pasukan selepas beberapa tahun pasukan bola sepak Perak gagal meraih sebarang piala.

Pemuda AMANAH negeri Perak sangat mengharapkan agar pihak pengurusan mencari ramuan terbaik untuk meningkatkan prestasi pasukan.

Tidak lagi boleh memberi sebarang alasan kerana para penyokong telah memberikan peluang dan sokongan padu kepada pasukan serta pengurusan.

Tempoh yang ada ini perlu digunakan sebaik mungkin dalam mencari kekuatan dan ramuan baru sebelum kancah Piala Malaysia bermula.

Kami sangat yakin, pasukan ini mampu mempamerkan kekuatan walaupun dibarisi pemain-pemain muda.

Ketiadaan pemain bintang bukanlah penghalang untuk merangkul kejayaan, ini telah dibuktikan oleh pasukan Leicester City yang merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris baru-baru ini.

Jadikan ia sebagai inspirasi untuk meraih kejayaan! #KejorYopSkor!


AHMAD SHAFIQ AHMAD ARIFFIN naib ketua, Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Perak merangkap pengerusi biro sukan.

Lihat Komen
ADS