Mohamad Sabu tidak sesuai jadi naib presiden...
Saya merujuk kepada surat PAS perlukan barisan kepimpinan baru. Memang wujud pro dan kontranya dalam surat itu, namun sebagai ahli PAS di sebuah cawangan di Kelantan, saya berterima kasih dan kagum dengan nujum yang dibuat beliau berhubung kedudukan para pemimpin kita pasca Muktamar 1 Jun nanti.
Sebagai sebuah parti yang menjunjung demokrasi, pastilah pandangan sedemikian dialu-alukan. Sementara saya bersetuju dengan sebahagian barisan yang dikemukakan sebagai pejuang barisan hadapan PAS masa depan, terdapat dua kelemahan ketara. Pertama, penulis tidak meletakkan keperluan menukar kepimpinan PAS sekarang, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.
Sekalipun kita menyayangi Tuan Guru, namun sebagaimana pengalaman Umno, penggantian Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan kesan di luar jangkaan kita. Malah, saya yakin, Umno sendiri tidak menjangka keputusan pilihanraya lalu secemerlang itu.
Sepatutnya, pukulan daripada keputusan pilihanraya itu mengubah PAS untuk selama-lamanya. Namun, apa yang berlaku tidak sedemikian. Kita masih takut melakukan perubahan, masih ingin menggenggam 'status quo' dan berpura-pura berada dalam keadaan selesa seperti masa kemenangan pasca 1999 dulu.
Saya memohon supaya isu penggantian kepimpinan ini difikirkan sedalam-dalamnya oleh semua ahli. Satu perkara yang kita perlu belajar daripada proses penggantian kepimpinan dalam Umno ialah kemenangan mereka dahulu hanyalah disebabkan keberanian mereka berubah. Pada masa itu, Abdullah masih belum menunjukkan potensinya, manakala PAS sendiri masih mengelamun dan membuat unjuran salah, kononnya pilihanraya 2004 pastinya lebih baik berbanding 99.
Satu lagi isu ialah calon yang dikemukakan oleh Ahli PAS Pasir Gudang untuk salah satu jawatan naib presiden, iaitu Ustaz Haji Mohamad Sabu. Kita perlu sedar bahawa dalam usaha kita untuk menggerakkan penyatuan yang lebih baik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), pelantikan beliau pastinya akan mengundang musibah.
Semua orang tahu bagaimana kritikan Ustaz Mohamad Sabu kepada mantan Timbalan Perdana Menteri itu. Apa perkataan dan gelaran yang 'manis-manis' yang tidak diucapkan oleh beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Dengan itu, dalam usaha kita berbaik-baik dengan PKR, perkara itu perlu diperhalusi. Bukankah pelantikan itu nanti akan menjejaskan cita-cita penyatuan itu?
Akhirnya, saya mengharapkan semua faksi di dalam PAS, khususnya para pemilih, meneliti dan membuat pilihan yang setepat-tepatnya berasaskan akal rasional. Ingatlah, kita memilih bukanlah sebab menjaga hati pemimpin tertentu tetapi demi 'survival' PAS pada masa depan.

