Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Surat

Tepat jam 3 pagi, 17 Julai, tiba-tiba sahaja saya terbangun daripada tidur sebaik telefon pintar membunyikan pemberitahuan Twitter tentang berita terkini portal-portal bebas seperti Independent dan Guardian serta portal radikal seperti Liberation.

Selalunya jika ada berita terkini atau berita tergempar, suapan berita Twitter akan menghantar makluman khas tidak kira waktu.

Pastinya awal pagi itu, seisi dunia gempar dengan drama rampasan kuasa yang digerakkan sekumpulan elemen tentera yang mengumumkan merampas kuasa pemerintahan dari tangan Presiden Erdogan yang sedang bercuti ketika itu.

Lebih popular dengan nama kudeta, awal pagi sebelumnya Liberation yang berhaluan kiri melaporkan tercetus pertempuran berdarah di Istanbul dan Ankara.

Liberation turut memaklumkan salah seorang pelapor beritanya di Istanbul melihat tentera melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang berkumpul berhampiran salah sebuah jambatan Bosphorus.

Stesen televisyen di kedua-dua bandar tersebut dipaksa oleh tentera prokudeta menyiarkan pengumuman rasmi bahawa mereka berjaya merampas kuasa presiden.

Dalam kenyataan, kumpulan itu menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Keamanan Tanah Air.

Dalam pada masa yang sama, Erdogan muncul buat kali kedua membuat pengumuman melalui Internet menggunakan telefon pintar.

Beliau menyeru rakyat Turki turun ke jalan raya untuk membantah rampasan kuasa tersebut.

Rakyat Turki sepakat turun ke jalan raya menyatakan protes terhadap rampasan kuasa tersebut dan khabarnya ramai yang tewas di jalanan menjadi mangsa peluru si perampas kuasa.

Akhirnya drama rampasan kuasa ini gagal dan sebahagiannya ditahan oleh polis dan rakyat Turki sendiri manakala yang lain melarikan diri ke Grecce dengan menggunakan helikopter tentera dan memohon perlindungan politik.

Saya melihat bagaimana sebuah kerajaan yang mendapat sokongan rakyat akhirnya dipertahankan rakyatnya sendiri apabila berlaku rampasan kuasa secara tidak demokratik.

Bagi saya, ini satu tamparan hebat buat mana-mana kerajaan yang konon merasakan mereka mendapat sokongan rakyat melalui pilihan raya tetapi masih menahan dan menangkap pengkritik-pengkritik kerajaan menggunakan akta hasutan.

Andai benar sesebuah kerajaan itu mendapat sokongan penuh dari rakyatnya sendiri, kerajaan itu itu tidak perlu bimbang dikritik dan tidak gentar dengan hasutan oleh mana-mana individu hingga perlu menahan mereka bawah akta hasutan.

Hatta jika berlaku rampasan kuasa secara bersenjata sekali pun, sesuatu kerajaan yang memperoleh sokongan penuh rakyat itu takkan gentar.

Mereka sedar rakyat akan berdiri teguh menyokong dan mempertahankan kerajaan yang mereka undi dalam pilihan raya.

Justeru apa perlu akta hasutan jika rakyat tidak mudah dihasut sekiranya mereka yang bijak ini setia dan tegar menyokong kerajaan seperti rakyat Turki yang siap-sedia mempertahankan Erdogan biarpun dihasut oleh kumpulan kudeta.


LEE SLIMSHADY bekas aktivis #OccupyDataran yang percaya perubahan hanya melalui proses revolusi.

Lihat Komen
ADS