Ketua Menteri Pulau Pinang DAP Lim Guan Eng tidak sewajarnya cuba membela ADUN Sungai Pinang Lim Siew Khim berhubung skandal ‘duit kopi’ kerana sama ada Siew Khim sedar atau tidak mengenai tindakan ayahnya, ia tetap bersangkut paut dalam perkara ini.

Dalam isu ini, kita boleh melihat persamaan yang ketara seperti yang dihadapi Guan Eng dalam skandal rumahnya.

Kedua-dua mereka pada mulanya telah menafikan tuduhan tersebut dengan kenyataan-kenyataan yang saling bercanggah, tetapi kemudiannya terpaksa membuat pusingan U apabila lebih banyak bukti diketengahkan, dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan lain pula yang bercanggahan.

Jika perkara ini melibatkan pemimpin BN, DAP sudah pasti akan membuat kecoh, meminta siasatan dilakukan dan mendesak pemimpin berkenaan meletak jawatan.

Akan tetapi, kita boleh melihat bahawa DAP mengamalkan dwistandard apabila ia melibatkan pemimpin-pemimpin mereka sendiri.

Ia juga merupakan amalan biasa bagi DAP yang tidak bertanggungjawab. Dari Kerajaan Pulau Pinang sehinggalah ADUNnya, kita melihat bagaimana mereka mengecilkan malah menidakkan isu atau menyalahkan BN, atau mendakwa pendedahan skandal sebagai sebuah konspirasi.

Ini amat bertentangan dengan laungan mereka untuk mewujudkan Kerajaan Pulau Pinang yang cekap, bertanggungjawab dan telus (CAT).

Tuduhan DAP bahawa semua skandal adalah konspirasi BN memang tidak masuk akal. BN tidak memaksa Guan Eng untuk membeli rumahnya daripada Phang Li Koon dengan harga yang terlampau murah.

BN juga tidak pernah memaksan ayah Siew Khim untuk meminta ‘duit kopi’ daripada para pembeli rumah.

Oleh itu, Lembaga Disiplin DAP haruslah menyiasat isu tersebut dan membuat penjelasan kepada rakyat Pulau Pinang dan pihak umum, terutamanya mangsa-mangsa penipuan dan bukannya membiarkan skandal ini ditutup begitu sahaja semata-mata kerana Guan Eng ‘mempercayai’ bahawa Siew Khim tidak bersalah.


TAN TEIK CHENG adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan MCA Pulau Pinang merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat MCA