Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengumuman Bajet 2017 yang bakal dibentangkan pada penghujung bulan Oktober kelak boleh meliputi aspek bagi meningkatkan tahap keselamatan para pelajar sekolah.

Ini susulan beberapa insiden kemalangan yang berlaku melibatkan beberapa pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Kemalangan yang melibatkan para pelajar di kawasan sekolah serta yang berada di luar kawasan yang berhampiran dengan sekolah perlu dipandang serius oleh semua pihak yang terlibat serta disusuli dengan tindakan yang lebih proaktif dan segera.

Ia bagi memastikan aspek keselamatan para pelajar sentiasa terjamin dan terpelihara pada setiap masa. Semenjak beberapa hari lalu, kita telah didedahkan dengan beberapa insiden kemalangan yang melibatkan pelajar sekolah ketika mereka ingin melintas jalan raya yang berada berhampiran dengan kawasan sekolah.

Sudah pasti isu berkenaan menyebabkan ramai pihak terutamanya para ibu bapa dan penjaga berasa bimbang mengenai tahap keselamatan anak – anak mereka yang hadir serta pulang dari sekolah.

Pelbagai cadangan dikemukakan bagi mencari jalan untuk mencegah insiden terbabit daripada terus berulang seperti tindakan tegas penguatkuasaan undang-undang terhadap pemandu yang didapati cuai serta melangar peraturan lalu lintas sedia ada dan lain- lain.

Ada juga cadangan untuk mewajibkan setiap sekolah untuk memiliki seorang penjaga trafik atau pengawal lalu lintas sekolah bagi memberi bantuan terhadap pelajar yang ingin melintas jalan.

Cadangan yang diberikan adalah baik dan perlu mendapat pertimbangan yang serius dari pihak-pihak yang terlibat khususnya pihak Kementerian Pendidikan.

Namun, kita juga harus memahami masalah kekangan kewangan yang mungkin dan bakal dihadapi oleh pihak sekolah sekiranya cadangan ini dilaksanakan kelak.

Oleh itu, adalah menjadi harapan semua pihak supaya pihak kerajaan dapat mempertimbangkan supaya dapat memberi peruntukan khas melalui proses pembentangan Bajet 2017 kelak bagi membantu pihak sekolah dalam negara kita.

Ini untuk menjayakan cadangan yang telah diberikan bagi menjamin keselamatan pelajar- pelajar khususnya pelajar sekolah rendah yang rata-ratanya terdiri daripada kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang memerlukan bimbingan dan sokongan dari orang dewasa bagi membantu mereka untuk melintas jalan raya.

Peruntukan bajet juga boleh meliputi penganjuran segala bentuk program serta aktiviti di sekolah bagi melahirkan kesedaran aspek keselamatan di kalangan para pelajar khususnya ketika ingin mengunakan jalan raya, pengantian lampu lalu lintas yang lebih canggih serta bercirikan tahap keselamatan yang tinggi untuk setiap jalan raya yang berhampiran dengan kawasan sekolah.

Ini termasuk penambahan papan peringatan yang lebih besar serta jelas mengenai tahap pemanduan selamat di kawasan yang berhampiran dengan sekolah dan penambahan aspek keselamatan jalan raya di kawasan yang berhampiran dengan sekolah.

Apa- apa langkah pun yang ingin diambil, isu keselamatan para pelajar tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak. Semua pihak harus memberi kerjasama serta memandang serius terhadap isu ini bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku terhadap para pelajar.


Dr. MUZAFFAR SYAH MALLOW  Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Lihat Komen
ADS