Perubahan kosmetik tidak bantu perpaduan negara
Pandangan ikhlas seorang ahli kabinet, Lim Keng Yaik telah mencetuskan reaksi yang pelbagai daripada kumpulan yang berlainan. Ada antara kumpulan ini mendapati menteri itu meluahkan perasaan terpendam sebilangan besar anggota kumpulannya dan berterima kasih kerana pendapat itu diluahkan, khususnya pada ketika kerajaan bercadang untuk memasukkan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil dalam kurikulum sekolah kebangsaan.
Sebaliknya, ada kumpulan yang menganggap menteri itu kurang sensitif dan telah melanggar tatacara mengemukakan pendapat di luar kabinet yang dapat diertikan sebagai mengengkari dasar kerajaan.
Tidaklah menghairankan, semua kumpulan ini ada pejuangnya, ada pengikut setianya dan ada penyokong dalam kalangan media massa di negara ini. Malangnya, sekali imbas sahaja dapat kita menilai betapa sukar untuk menyatupadukan masyarakat negara kita yang tidak mahu bertolak-ansur demi perpaduan negara. Masing-masing sudah begitu 'keras' dalam pendiriannya, dan cuma mahu kumpulan lain untuk berubah.
Jika sekolah kebangsaan (SK) terus dianggap sebagai hak sesuatu kumpulan sahaja, dan kumpulan lain dianggap 'pendatang' di situ, SK tidak mungkin memainkan peranannya untuk mewujudkan perpaduan.
Gagasan perpaduan negara yang utuh berdasarkan Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Negara yang tidak menonjolkan kepentingan mana-mana kumpulan, tetapi mengutamakan kepentingan masyarakat Malaysia patut telahpun wujud di SK, khasnya selain di semua sekolah menengah kerajaan di negara kita.
Bukankah sekolah-sekolah ini wujud berdasarkan Laporan Razak yang berhasrat untuk merubah kepelbagaian dalam zaman penjajahan kepada suatu sistem nasional yang merangkumi semua rakyat negara ini?
Malangnya, kita ada pejuang bahasa ibunda yang mencampuradukkan hak untuk belajar bahasa ibunda dengan hak untuk meneruskan sekolah-sekolah yang mengendalikan seluruh kurikulum dalam bahasa ibundanya, yang sudah tentu mencerminkan budaya etnik masing-masing.
Maka, tidaklah hairan jika kumpulan majoriti juga berkeinginan untuk menjadikan SK sebagai sekolah yang mencerminkan budaya etniknya pula.
Jika bahasa Mandarin dan bahasa Tamil diajar di SK yang mencerminkan bukan budaya Malaysia, tetapi mana-mana kumpulan tertentu sahaja sudah tentu ibu bapa dari kaum Cina dan India di negara ini, akan ragu-ragu untuk menghantar anaknya ke sekolah berkenaan.
Oleh yang demikian, generasi tua yang memegang pucuk pimpinan negara sekarang perlu memikirkan bagaimana hendak mewujudkan perpaduan melalui SK dan untuk mengimbanginya, perlu menentukan jangka masa apabila pengendalian sekolah vernakular menjadi tanggungjawab masyarakat masing-masing, tanpa bantuan kerajaan, tertakluk kepada peraturan yang ditetapkan.
Perubahan kosmetik tanpa memikirkan perpaduan bangsa Malaysia melalui sistem persekolahan, tidak mungkin membantu kita untuk mengatasi perpecahan seperti yang kita saksikan sekarang.
Utusan Malaysia , sebagai akhbar kebangsaan, harus mencerminkan hasrat masyarakat Malaysia, dan tidak harus menjadikan dirinya sebagai pejuang sesuatu kumpulan tertentu, walaupun dari segi sejarahnya memang begitu.
Tapi kita faham bahawa sikapnya ialah akibat sistem yang kita amalkan sekarang. Kita perlu perbetulkan 'sebabnya' supaya akibat seperti ini tidak lagi wujud di negara kita.
Mampukah kita mengorak langkah ke arah itu? Atau adakah kita masih mahu terus berselindung di belakang istilah 'sensitif' dan menbiarkan jurang perpisahan antara kaum semakin lebar dengan sekali-sekala mencadangkan dan mengamalkan perubahan kosmetik apabila keadaan mendesak?

