Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan TV3 memfitnah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melalui berita bertajuk “GST: Terbukti Berkesan - Presiden PAS” yang disiarkan dalam Buletin Utama pada 18 Oktober 2016.

Sesungguhnya TV3 telah membelakangkan prinsip asas pemberitaan yang mementingkan kebenaran dan kebertanggungjawaban.

Dalam sesi soal jawab lisan di parlimen pada pagi Selasa, 18 Oktober 2016, presiden PAS yang merupakan anggota parlimen Marang bertanya soalan kepada menteri kewangan, iaitu:

“Sejauh mana hasrat kerajaan untuk membatalkan cukai GST yang dikenakan kepada rakyat tidak mengira kaya atau miskin dan mengambil mekanisme lain yang lebih adil, saksama dan tidak membebankan rakyat?”

Setelah soalan asal tersebut dijawab oleh menteri, presiden PAS bangun mengemukakan soalan tambahan dengan berkata:

“Tan Sri Yang Dipertua, soalan tambahan saya, GST merupakan percukaian murah oleh kerajaan, khusus terhadap mereka yang melarikan diri daripada cukai, cara yang berkesan tanpa dinafikan.

“Namun pun di sana ada impak Yang Berhormat sebut, dan kesan negatifnya ialah inflasi yang menjadi bebanan kepada rakyat awam, khususnya dalam barang-barang yang disebutkan tadi, masih ada sungutan-sungutan nilai mata wang, ini juga membebankan pelajar kita di luar negara, yang ke luar negara, sungutan itu banyak, sejauh mana langkah-langkah Kerajaan dan penilaian terhadap keberkesanan daripada langkah-langkah itu dan adakah Kerajaan berfikir untuk mengadakan alternatif yang lain sekiranya ada?

“Terima kasih.”

Amat malang sekali apabila TV3 telah memanipulasi pertanyaan presiden PAS itu dengan hanya menyiarkan sekerat sahaja tanpa menyiarkan sepenuhnya soalan tersebut dengan niat untuk menggambarkan kononnya GST disokong oleh presiden PAS.

Bukankah ini adalah fitnah yang nyata bagaikan seterang cahaya mentari dengan menyiarkan berita yang dikerat dan digubah sesuka hati bagi memenuhi citarasa tuan empunya mereka?

Presiden PAS bangun bersuara memperjuangkan isu rakyat di parlimen dengan mendesak kerajaan agar menilai kembali pelaksanaan GST yang begitu membebankan rakyat di semua peringkat.

Namun, hasrat murni beliau telah dipergunakan TV3 untuk menipu rakyat di kampung agar percaya bahawa Presiden PAS sokong GST.

Justeru, Pemuda PAS mendesak TV3 segera memohon maaf kepada presiden PAS atas berita fitnah yang telah mencemarkan imej dan reputasi beliau di mata rakyat.

Kami juga menyeru TV3 agar bertaubatlah daripada meneruskan kerja penyebaran adu domba dan fitnah ini.

Pihak pengurusan TV3 juga perlu menghantar semula para editor dan wartawan ke kursus Bahasa Bahasa Melayu agar dapatlah membezakan antara ayat pertanyaan dan ayat pernyataan.


IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN naib ketua, Pemuda PAS.

Lihat Komen
ADS