Surat Anak Merdeka yang bertajuk Lantik Mat Sabu ketua penerangan PAS adalah dengan hormatnya dirujuk. Saya sebagai pemerhati politik dari kampus berpendapat calon yang yang sesuai menjadi Ketua Penerangan PAS pusat yang baru adalah Dr Hatta Ramli, bukannya Haji Muhamad Sabu.
Ini kerana Muhamad sudah lama dan luas pula pengalamannya dalam gerakan Islam serta berpemikiran yang futuristik, maka ini lebih melayakkan beliau menduduki jawatan naib presiden PAS.
Di samping itu, Muhamad merupakan pemimpin PAS yang begitu lantang memperjuangkan demokrasi di Malaysia, dan strategi dan buah fikirannya berupaya menaikkan semula momentum PAS sebagai parti politik arus perdana.
Tambahan pula, beliau adalah antara pemimpin PAS yang mendapat banyak pencalonan bagi bertanding jawatan naib presiden. Ini menggambarkan beliau diharap oleh ahli akar umbi untuk menyandang jawatan tersebut.
Bagi saya, Dr Hatta Ramli lebih sesuai menjadi Ketua Penerangan PAS yang baru kerana beliau yang berpengalaman dengan kerja-kerja penyelidikan parti sejak zaman Almarhum Ustaz Fadzil
Noor lagi.
Lujnah Penerangan parti pula perlu digabungkan dengan unit penyelidikan dan propaganda parti (PPP) agar jentera penerangan kita selari dengan keadaan isu semasa yang memerlukan bacaan politik yang luas.
Kami yakin pengalaman luas Dr Hatta dan Dr Zulkifli Ahmad selaku pengarah PPP akan mampu memantapkan Lujnah Penerangan PAS Pusat dengan turut memasukkan elemen penyelidikan dan propaganda dalam urusan penerangan parti, untuk muncul semula sebagai parti dominan dan parti massa di negara kita.
