Saya amat berminat dengan artikel mengenai Kohilal kerana saya dan suami saya adalah antara mereka yang teraniaya kerana melabur koperasi tersebut, yang kononnya untuk membantu ahli PAS dan orang Melayu menambahkan pendapatan mereka.

Melalui skim Kohilal itu, dengan bersyaratkan pelabur mestilah ahli PAS, kami pun melabur RM20,000 pada tahun 1998 di ibu pejabat PAS Kuantan, Pahang. Tetapi sehingga kini kami tidak menerima satu sen habuk pun imbuhan daripada wang pelaburan kami.

Surat demi surat dihantar tetapi jawapan yang sama diterima ialah 'pihak kami tidak dapat memenuhi permintaan anda kerana pihak kami perlu bermesyuarat dengan semua ahli lembaga pengarah terlebih dahulu'. Itulah jawapan yang kami terima dari tahun 2000 sehingga kini.

Harapan kami para pelabur yang teraniaya semoga ada pihak atasan (PAS) dapat membantu memulangkan semula wang pelaburan pokok kami kerana kami bukanlah terdiri daripada golongan yang berada.

Cuma atas dasar jimat cermat daripada wang titik peluh kami, maka kami dapat mengumpul wang sebanyak itu, tetapi telah ditipu oleh pihak yang sebelumnya telah mewar-warkan bahawa Umno dan kerajaan tidak betul, makan duit rakyat dan sebagainya.

Tetapi apa sudah jadi dengan PAS yang matlamatnya untuk membantu rakyat dan menghapuskan rasuah - inilah yang dikatakan harapkan pagar, pagar makan padi...