Saya amat terkejut dan meluat melihat reaksi YB Zainuddin Maidin , Timbalan Menteri Penerangan Malaysia, yang sangat marah dengan TV3 kerana dikatakan tidak profesional apabila menyiarkan ucapan beliau di Parlimen dan memperkecilkan TV3, terutama Rancangan 999 yang dikatakan mensensasikan kes-kes jenayah melalui rancangan tersebut.

Itulah pendapat bekas seorang wartawan veteran yang sudah tidak relevan lagi dengan zaman moden ini. Zaman beliau mula memegang jawatan timbalan menteri penerangan, kebebasan akhbar di negara ini tercela kerana sikap beliau yang mengongkong media massa.

Beliau mahu berita yang baik-baik sahaja disiarkan dan menutup fakta-fakta benar, sehinggalah pada suatu masa dahulu, sebilangan besar rakyat negara ini sudah tidak percaya lagi dengan media massa negara ini dan beralih kepada akhbar dan media massa luar ataupun yang bukan akhbar perdana.

Akibatnya, akhbar-akhbar perdana seperti Utusan Malaysia dan New Straits Times mengalami penyusutan pelanggan hingga ke hari ini. Akhbar yang agak sedikit bebas, seperti The Star telah mengalami penambahan pelanggan hingga ke hari ini. Kini, The Star adalah akhbar paling laris di negara ini.

Rancangan 999 yang dikatakan telah disensasi oleh TV3 adalah satu rancangan yang disokong oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Maka sudah tentulah pihak PDRM telahpun menimbang sehalus-halusnya, akan pro dan kontra penyiaran rancangan tersebut.

Pengetahuan mengenai jenayah perlu diketahui oleh masyarakat supaya mereka dapat turut serta bertanggungjawab membanterasnya. Maklumat yang dipaparkan sangat berguna agar kejadian tersebut tidak berulang lagi. Lagipun, bagaimanakah kita hendakkan masyarakat turut serta membantu PDRM jika mereka tidak tahu bagaimana kejadian jenayah itu berlaku?

Alasan timbalan menteri berkenaan bahawa rancangan tersebut akan menakutkan para pelancong untuk datang ke negara ini amatlah naif sekali. Rancangan tersebut dalam bahasa Malaysia. Jadi berapa keratkah daripada para pelancong itu yang boleh memahami Bahasa Malaysia? Lagi pula, rancangan tersebut disiarkan hanya seminggu sekali.

Saya rasa timbalan menteri berkenaan tidak senang hati dengan sedikit kebebasan akhbar yang telah diberikan oleh kerajaan pimpinan Pak Lah. Beliau mahu negara ini terus di takuk lama, seperti sewaktu dibawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad, yang sangat tercela dari segi kebebasan hak asasinya

Beliau harus sedar bahawa zaman itu sudah berlalu dan biarkan Pak Lah mentadbir negara ini mengikut stailnya. Jika tidak setuju, letak jawatan.