Apa Beza Jamal dengan Trump?

Jamal Md Yunos rambutnya hitam, Donald Trump rambut blonde, Jamal berpakaian merah, dan Trump pula kemas bertali leher dan ber-tuxed seperti mana kebiasaan elit politik. Tidak lupa juga Jamal "digeruni" baju kuning, dan Trump pula "digeruni" Clinton.

Kedua-duanya berusaha memastikan kedudukan masing-masing terjamin. Kuasa-kuasa besar yang memilih pula mengharapkan yang terbaik dari individu ini - cuma beza di sini Trump dan penyokong beliau tidak tahu menahu tentang ilmu silat dan ilmu kebal.

Dalam soal meraih sokongan, Jamal mengharapkan orang-orang Melayu, dan elit Umno; yang berketuanan Melayu.

Trump pula mengharapkan simpatisme rakyat dari retorik politik ala kapitalis beliau untuk meraih undi orang-orang kulit putih kelas bawahan di Amerika.

Jamal Baju Merah, Trump si Republikan dan perihal neo-Nazi

Sebelum itu, baik kita lihat sepintas lalu apakah yang dikatakan dengan neo-Nazi.

Neo-Nazi adalah satu ideologi pembawakan dari politik fasis Jerman oleh Adolf Hitler pada Perang Dunia I. Selepas itu, ideologi Nazi imula menyelinap masuk ke dalam parti konservatif radikal atau organisasi ultra-nasionalis di hampir 30 buah negara di Eropah.

Pendukung neo-Nazi terkenal dengan sikap anti-semitisme, rasisme, xenophobia (anti-homoseksual), militerisme, dan ultra-nasionalisme.

Di Croatia misalnya, terdapat banyak kes yang dikaitkan dengan sentimen perkauman dan diskriminasi etnik yang dicetuskan oleh kelompok ultra-nasionalis (di kawasan Slovania, Northern Dalmatia, dan Western Syrmia).

Nasionalisme etnik, keganasan, kebencian, dan ketidaktoleran agama telah menghantui etnik minoriti Serbia sehingga kebencian terhadap etnik tersebut menyebabkan populasi di negara itu merudum sebanyak dua pertiga akibat sentimen yang dibawa oleh ideologi neo-Nazi.

Di Hungary pula terdapat sebuah organisasi pemuda “Jobbik” yang didirikan pada tahun 2002 iaitu sebuah organisasi politik konservatif dan radikal patriot Kristian yang sangat kuat memainkan sentimen anti-semitisme dan perkauman di negara itu.

Manakala Di Austria, dicatatkan terdapat hampir 255 kes yang berkaitan dengan kerosakan harta benda, kecederaan, dan ugutan berbaur perkauman yang berlaku pada tahun 2014. Ini juga berpunca daripada sentimen yang dibawa oleh gelombang neo-Nazi.

Pada tahun 2014, kajian daripada sayap kanan radikal Jerman memutuskan terdapat sebanyak 36.6 peratus penduduk bersetuju perlunya penolakan terhadap umat Islam di Jerman, 55.4 peratus pula menyatakan bahawa mereka menghadapi masalah dengan etnik Roman yang menghuni kawasan kejiranan mereka.

Begitu juga berdasarkan rekod daripada Agreement Law Enforcement Agency mendapati hampir 21,700 anggota sayap kanan radikal dan 150 kumpulan neo-Nazi yang berpusat di Jerman.

Jika di Amerika, keputusan pilihanraya pada 9 November lalu membuktikan rakyat sudah memilih.

Sebanyak 279 undi secara elektoral diraih oleh Trump berbanding Clinton sebanyak 228.

Namun sejurus sahaja kemenangan Trump, sudah terpampang jelas simbol "swastika" (simbol Nazi) dan tulisan "seig heil 2016" di kawasan kejiranan Philadelphia yang dikatakan dilakar oleh penyokong beliau sendiri - Philadelphia adalah kawasan yang menjadi saksi pembunuhan beramai-ramai orang-orang Yahudi dalam peristiwa Kristallnacht.

"Luggenpresse" adalah perkataan Jerman lama yang digunakan ketika era Nazi Jerman dan dilontarkan kembali dalam kalangan penyokong Trump untuk menyerang media-media yang lebih berat sebelah kepada Clinton dan parti Demokrat-nya. "Luggenpresse" atau “lying press" sudah mula di-popular-kan pada tahun 2014 oleh aktivis anti-imigran di Jerman supaya media-media negara itu lebih banyak "mensiniskan" pelarian-pelarian Islam yang masuk ke Jerman - kebanyakannya adalah pelarian dari kawasan berkonflik "ISIS".

Hal ini tidaklah begitu menghairankan jikalau dasar Trump ke atas imigran-imigran di Amerika yang hampir seramai 11 juta orang itu akan diusir keluar melalui "deportation force".

Pada hemat penulis, dasar ini adalah satu hujan rahmat bagi penduduk Amerika juga sebenarnya kerana kebanjiran pendatang asing telah mengganggu perkembangan dan institusi ekonomi orang kulit putih kelas bawahan di Amerika.

Ini tidak termasuk lagi dengan kelompok imigran yang sudah sedia mendapat status kewarganegaraan dan kemudian membawa kebudayaan asal mereka yang dirasakan cukup asing ataupun juga menjengkelkan sebahagian daripada orang-orang kulit putih di Amerika.

Mendengar ucapan Trump pelbagai baur sehingga memenangi undi di 30 buah negeri sudah tentu menggeletarkan kaki ramai golongan imigran, dan menggundah-gulanakan hati penyokong setia Clinton.

Begitu juga mengekalkan rentak islamophobia beliau, penulis jangkakan akan ada suatu yang mengejutkan berlaku. Cuma yang pasti tiada yang berkurangan – tiada bezanya islamophobia sebelum dan semasa era Trump, masih sama; prejudis dan diskriminasi.
Jika menurut perkiraan, Jamal juga mempunyai hampir 20 ribu penyokong yang mampu menjadi tukang “balun” di medan gerakan.

Kemungkinan angka itu lebih ramai lagi jika diperkirakan dengan jumlah mereka yang menunjukkan simpatisme kepada nasib orang Melayu (nada rasisme) dan mereka yang berusaha menyokong Jamal dan baju merah di belakang tadbir.

Begitu juga Jamal dengan "mempromosikan" Baju Merahnya di seluruh kawasan; dari Sungai Besar, Selangor ke Jalan Tandang, PJ. dirasakan beliau mampu mengekalkan percaturan politik pihak yang menyokong dan disokongnya.

Buat masa sekarang, cerita dua individu inilah menjadi perbualan hangat ramai, baik di kantor kapitalis hingga ke warung kopi – yang pasti bagi penulis, presiden Amerika yang ke-45 itu tidak sama sekali mengenali siapa itu Jamal, dan yang ironinya, kedua-dua individu ini mempunyai penyokong sendiri yang fanatik.

Mahu tidak mahu, sikap penyokong-penyokong inilah yang akhirnya menjadi cermin pantul kepada mereka.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai pengalaman dengan ideologi neo-Nazi seperti di Eropah.

Namun keadaan yang berlaku di negara-negara tersebut dalam perihal ini tidak jauh bezanya seperti yang berlaku di sini. Ianya tetap membimbangkan rakyat Malaysia.

Kemunculan Jamal dan Baju Merah adalah sekumpulan gerakan yang telah mengejutkan ramai pihak dengan tindakan mereka menyerang dan melakukan provokasi-provokasi yang mampu menggugat ketenteraman awam.

Namun hal “baju berwarna” ini bukanlah satu perkara yang baru. Kita juga dapat saksikan senario gerakan Baju Merah melawan kumpulan Baju Kuning di Thailand pada tahun 2006. Kedua-duanya adalah simbol kepada keadaan demokrasi di Thailand yang sedang bergeser ketika itu.

Baju Merah mewakili perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan Baju Kuning pula menentang kediktatoran perdana menteri itu dan menuduh Thaksin melakukan korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Di Thailand, Thaksin dianggap sebagai wakil kepada rakyat-rakyat pendesaan dan kumpulan Baju Kuning pula terdiri dalam kalangan warga kelas menengah perkotaan.

Keadaan sangat berkontradik antara gerakan Baju Merah sebagai pendukung kerajaan (elit berkuasa) dan gerakan ultra-nasionalis Melayu dengan gerakan Baju kuning yang mendukung kelas rakyat bawahan dan kelas menengah di Malaysia.

Walaupun gerakan Baju Kuning ini mendapat sokongan dan dukungan daripada parti politik pembangkang, namun ini adalah satu cara kolektif rakyat dalam menentang sistem yang korup dan menyedarkan rakyat akan “kejadongan” pemimpin-pemimpin di Malaysia.

Sentimen rasisme dan budaya etno-sentrisme ini kelihatan dalam kepimpinan Jamal sebagai Pengerusi Gabungan NGO Melayu.

Ia jelas sangat bertentangan dengan nilai perpaduan rakyat Malaysia dalam membina sebuah negara-bangsa yang diharapkan seiringan dengan cita-cita mengejar Wawasan 2020.

Media yang sering kali memaparkan sikap Jamal yang kononnya dianggap profesional itu adalah sebaliknya bagi rakyat yang bijak menilai yang “mana kaca dan mana permata”.

Rakyat Malaysia khususnya tidak menerima sentimen perkauman sempit yang dibawa oleh gerakan Baju Merah ini.

Kemerdekaan yang dikecapi bukanlah hanya daripada perjuangan orang-orang Melayu sahaja, tetapi melibatkan usaha daripada pelbagai kaum di Malaysia juga.

Kita tidak menginginkan tragedi rusuhan kaum seperti 13 Mei berulang lagi gara-gara sentimen dan permainan rasisme yang dibawa ke dalam suara dan gerakan demokrasi rakyat Malaysia.

Namun, kehangatan penyokong-penyokong Trump dalam kempen pilihanraya lepas membakar sentimen perkauman, membuatkan penulis merasakan kehangatan ini turut akan berlaku di dalam pertembungan "demo harap aman" atau “demo harap Bukit Aman” antara Baju Kuning dan Baju Merah pada 19 November nanti.