Sejak PAS ditinggalkan oleh Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dan digantikan dengan Tok Guru Hj Abdul Hadi Awang; sejak PAS kalah teruk di Terengganu; sejak PAS dimasuki dari pelbagai penjuru oleh bekas aktivis Abim dan Umno berikutan krisis Anwar Ibrahim sejak 1998 hingga kini maka halatuju PAS semakin goyah.

Ini ditambah pula oleh kurangnya pengalaman setiausaha agung PAS selepas Ustaz Halim Arshat, menyebabkan parti itu dilihat kurang bermaya.

PAS sebenarnya turut gah apabila dapat memenangi banyak kerusi di peringkat Parlimen pada tahun 1999 dan seterusnya dapat memerintah Terengganu di samping mengekalkan Kelantan sejak 1990.

Dalam bahasa orang kampung, apabila seseorang pemimpin PAS mendapat gelaran YB dan YAB dipangkal namanya, maka gendang dan kompang PAS pun dipalu sekuat-kuatnya. Begitu juga dengan ahli dan penyokong PAS yang mengaraknya ke segenap pelusuk rantau.

Masalah Barat atau Timur tidak timbul dalam arus PAS tetapi yang paling penting, apakah PAS benar-benar dapat menjadi pewaris Nabi dan Rasul dalam perjuangannya hari ini? Adakah akhlak dan disiplin Islam melingkari kehidupan pemimpin Islam se 'standard' dengan kuliah dan ilmu yang dimiliki seluruh mereka yang berilmu dalam PAS?

Apakah habuk rokok dan hembusan asap rokok yang dihisap pemimpin PAS masih berkepulan di ibupejabat PAS? Bagaimana dengan gaya hidup pemimpin PAS yang membela golongan 'mustadafin' yang menderum dengan gauman Mercedes mewah dan pacuan empat roda yang sering diletakkan di depan ibu pejabat PAS itu melambangkan kesederhanaan PAS dalam mengamalkan cara hidup yang benar-benar menyintai golongan miskin dan fakir?

Kini yang terbaru, adanya usaha membawa wakil muslimat menduduki kerusi naib presiden PAS, terutama dari dewan muslimat sendiri dan dari pemimpin tertinggi PAS. Masalahnya ialah taraf ketua dewan muslimat itu sendiri secara automatiknya menjadi salah seorang daripada tiga naib presiden PAS iaitu Ketua Dewan Ulamak PAS, Ketua Dewan Pemuda PAS dan Ketua Dewan Muslimat di samping naib-naib yang sedia ada.

Yang penting, muslimat harus perbetulkan diri sendiri terlebih dahulu dengan memperkasakan dewan muslimat dan lajnah-lajnahnya supaya kuat dan tersusun rapi. Dahulu, isteri Haron Taib dijatuh dan digantikan oleh bekas orang kuat Kelantan Kalthom Othman. Pada masa dia menjadi naib ketua dewan muslimat, tidak nampak apa-apa pun perubahan, inikan pula menjadi ketua.

Sebenarnya tidak timbul soal siapa ketua jika amalan syura dalam PAS benar-benar dapat dipraktikkan. Tidak perlu ada sebarang pertandingan di semua peringkat parti jika asuhan syura dapat dimengerti dan difahami oleh semua pendokong PAS iaitu siapa yang lebih berilmu dan berpengalaman dan ada rekod prestasi, maka dialah yang menjadi pemimpin.