Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower) mengutuk sekeras-kerasnya serbuan yang dilakukan oleh pihak polis serta menyoal siasat kakitangan Empower tanpa sebarang wakil daripada pihak peguam.

Sekitar 12.30 tengah hari, pihak polis telah menyerbu premis Empower bawah seksyen 124C Kanun Keseksaan dan mengancam untuk menahan kakitangan kami selama 48 jam tanpa akses kepada peguam di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Mereka nampaknya menyiasat pembiayaan BERSIH, dan mengambil fail dan dokumen kewangan, termasuk lejar am Empower serta laporan kerugian dan keuntungan kewangan.

Empower menegaskan bahawa tiada undang-undang yang melarang pertubuhan masyarakat madani daripada menerima dana tempatan mahupun daripada luar negara.

Semua dana yang diterima oleh Empower telah digunakan berdasarkan objektif dan aktiviti yang termaktub bawah perlembagaan kita.

Kami turut mengemukakan segala dokumen tahunan yang dikehendaki oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan termasuk aktiviti tahunan dan laporan kewangan yang telah diaudit.

Usaha kami ke arah mencapai kesaksamaan dan hak demokrasi untuk semua, terutamanya bagi wanita dan masyarakat terpinggir, jelas dapat dilihat oleh mata dunia.

Empower mengecam sekeras-kerasnya cubaan untuk mencemarkan hasil kerja yang telah dan akan dilakukan oleh pihak kami.

Kami juga memuji tingkah laku pihak kakitangan kami yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis meskipun ancaman yang telah dibuat kepada mereka.

Kakitangan kami, dan kesemua masyarakat madani, tidak patut dikasari dan dipaksa melalui situasi ini.

Adalah jelas sekarang bahawa janji-janji yang diberi oleh kerajaan apabila Sosma telah diluluskan adalah janji-janji palsu.

Kami risau serbuan yang dilakukan di pejabat kami tidak akan menjadi kali terakhir Sosma disalahgunakan untuk mengancam pejuang hak asasi manusia.


JANARTHANI ARUMUGAM presiden Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower).

Lihat Komen
ADS