Senarai pencalonan telah terpapar di akhbar utama negara dan media rasmi PAS Harakah serta web-web alternatif. Suasana pemilihan dalam muktamar PAS semakin mendapat perhatian. Selain jawatan timbalan presiden, tiga jawatan naib presiden turut menjadi tumpuan.

Sebagai salah seorang perwakilan, saya tertarik untuk mengulas mengenai calon-calon naib presiden dari negeri saya yang bernama Husam Musa seorang yang sering mendapat liputan di Kuala Lumpur dan rakan karib orang kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tetapi kehebatan Husam ini hanya dilihat di luar Kelantan tetapi tidak di negerinya sendiri. Sebagai ahli jawatankuasa PAS pusat yang diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Lajnah Penerangan bagi membantu Ketua Penerangan PAS, Dr Haron Din, beliau dilihat tidak memainkan peranan dan fungsinya dengan baik.

Rata-rata ahli melihat Dr Harun Din seperti kekudungan tangan apabila terpaksa bekerja seorang diri bagi menggerakkan lajnah tersebut sehingga menyebabkan kesihatannya terganggu sejak akhir-akhir ini. Husam yang lebih banyak duduk di Kelantan dan ke luar negara, seolah-olah telah lupa yang beliau telah diamanahkan oleh parti untuk membantu Dr Harun Din dalam urusan penerangan.

Lebih mengecewakan lagi, selepas Dr Harun bercuti untuk menjalani rawatan, Husam langsung tidak mengambil peduli gerak kerja lajnah tersebut. Lajnah Penerangan PAS dilihat berkubur setelah Dr Harun bercuti. Amanah ini sepatutnya dipangku oleh Husam selaku timbalan ketua lajnah tersebut.

Kesangsian saya yang kedua ialah tindakan beliau selaku Exco Kelantan yang bertanggungjawab terhadap portfolio kewangan kerajaan negeri, apabila beliau baru-baru ini menyokong dan bersetuju meluluskan peruntukan untuk pembelian kereta mewah Mercedes Benz untuk kegunaan exco negeri satu pembelian yang sangat tidak wajar terhadap rakyat Kelantan sendiri.

Saya amat sedih, di kala kita kalah teruk dalam pilihanaraya umum, di saat rakyat menolak PAS kerana kemewahan pemimpin tertentu, tiba-tiba sebuah negeri serambi mekah yang miskin, telah membeli kereta mewah Mercedes untuk exconya bagi menggantikan kereta Proton Perdana.

Husam sepatutnya berasa malu di atas pembelian ini. Dan dia juga sepatutnya memohon maaf kepada rakyat Kelantan kerana sikap pembazirannya ini.

Sikap Husam yang tidak suka berbincang dan mendengar pandangan rakyat serta rakan-rakan Exco dalam kerajaan negeri sendiri menyebabkan Tok Guru Menteri Besar sendiri terpaksa melangkau beberapa tugas beliau.

Husam yang yang kadang-kala membuat keputusan tanpa merujuk kepada Menteri Besar, telah menyebabkan kakitangan awam kerajaan negeri menjadi keliru di atas arahan yang bertindih. Oleh itu, saya berharap para ahli PAS tidak terpesona dengan perawakan lembut Husam yang mana boleh membawa parti kearah 'one man show party' dan autokratik.