Warga emas dalam PAS
Sebagai pemerhati politik, saya ingin mengucapkan tahniah kepada kawasan PAS yang telah menunjukkan kematangan mereka berorganisasi kerana berani mencuba untuk membuat perubahan dalam parti, dengan mencalonkan tokoh pilihan mereka. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ustaz Haron Din kerana melihat kepentingan jemaah lebih penting dari kepentingan peribadi.
Sebagai seorang pendokong setia Ustaz Haron sejak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), saya gembira dengan penjelasan ikhlas beliau bahawa keuzurannya adalah punca utama beliau menarik diri daripada bertanding sebarang jawatan.
Ini menunjukkan beliau sangat sayangkan jemaah dan mengelak daripada bebanan dan fitnah sekiranya nanti beliau tidak mampu menjalankan amanahnya jika kesihatannya tidak mengizinkannya.
Namun saya merasa hairan dengan sikap pemimpin PAS lain yang turut diberitakan uzur. Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman yang mengalami masalah buah pinggang dan mendapat rawatan bulanannya di Kuala Lumpur.
Ustaz Azizan Razak umpamanya, telah dimasukkan ke Hospital Besar Pulau Pinang dan dijadual menjalani pembedahan pintas jantung pemintasan pada 10 Jun ini. Satu keuzuran yang sangat kritikal seperti allahyarham Ustaz Fadzil Noor dahulu.
Adalah tidak wajar bagi mereka yang uzur 'berat' ini untuk menawarkan diri. Datuk Mustafa Ali yang masih gagah dan sihat pun sudah mengisytiharkan menarik diri daripada bertanding semua jawatan parti untuk memberi laluan kepada muka baru. Tahniah Datuk Mustafa.
Saya melihat pemimpin yang berpengalaman ini perlu menjadi contoh kepada ahli-ahli PAS dengan memberi laluan kepada pemimpin pelapis, dengan melihat peralihan kepimpinan sebagai satu persediaan untuk memimpin rakyat.
Salahkah Ustaz Halim berundur dan memberi laluan kepada Husam, juga dari Kelantan. Salahkah Ustaz Azizan menarik diri dan memberi sokongan kepada Mahfuz yang senegerinya dengannya, Kedah.
Saya berharap para pemimpin dan ahli perlu bersikap terbuka dan memikir kesejahteraan parti dan ahli. Selamat bermuktamar.

