PAS perlu buat perubahan kalau hendak memang dalam pilihanraya umum ke-12. Perubahan yang dimaksudkan ialah perubahan pucuk pimpinan, khususnya tiga jawatan penting presiden, timbalan presiden dan naib presiden. Inilah tajuk utama yang dibincangkan oleh mereka yang menjadi tukang kempen kali ini.

Tetapi sayangnya, tukang kempen ini tidak faham politik dan menjadi pak turut kepada kroni mereka yang kononnya menawarkan diri untuk menyelamatkan PAS, sedangkan kempen mereka sebenarnya merosakkan PAS kerana dalam kata lain, mereka telah mewujudkan 'jemaah dalam jemaah'.

Yang peliknya, mereka ini bukan calang-calang orang. Ada yang sedang dan pernah memegang jawatan penting dalam PAS di peringkat pusat. Jawatan presiden sudah selamat. Yang heboh dibincang dan dilobi sekarang ialah jawatan timbalan presiden dan naib presiden.

Saya amat bersetuju bahawa perubahan itu penting, tetapi janganlah ia sampai mengenepikan orang lama macam Datuk Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Di Kelantan, angin perubahan ini sudah bertiup lama hingga wujud beberapa kem. Antara yang terkuat ialah kem tiga Abdul yang galak menebas dan mencantas tunas baru dan menebang teras lama.

Antara pucuk baru yang dicantas dan sedang dicantas ialah Ustaz Zulkifli Yaakob dan Husam Musa yang dilihat mereka sebagai 'musuh' dalam politik mereka di Kelantan. Manakala teras yang sedang digergaji ialah Tok Guru Nik Aziz yang dilihat sebagai pelambat proses revolusi mereka.

Untuk mengenepikan Tok Guru, mereka menyusun 'strategi senyap' yang tidak disedari oleh kebanyakan orang. Antaranya, mereka berjaya memerangkap Tok Guru membuat kenyataan akhbar yang menyebabkan ahli PAS marah kepadanya. Antara isu hangat ialah sokongan terbuka Tok Guru kepada Dr Mariah Mahmud sebagai naib presiden.

Inilah antara perkara yang perlu dilihat oleh perwakilan dalan pemilihan kali ini. Mereka hendaklah matang dan jangan sekali-kali terpengaruh dengan kempen murahan kaki kempen yang akan menagih undi di muktamar minggu ini.

Perwakilan yang bijak boleh menilai sendiri kewibawaan calon kerana mereka inilah yang akan menjadi tonggak untuk mempertahan, memperkasa dan menjalankan dasar parti yang berteraskan kepada al-Quran dan As Sunnah.

Satu perkara lagi yang harus diambilkira oleh perwakilan ialah visi yang hendak dibawa oleh calon-calon jawatan penting parti. Contohnya Mahfuz Omar berani mengemukakan visinya melalui kenyataan medianya dan calon-calon lain juga mesti berani mengemukakan visi mereka untuk dinilai oleh perwakilan dan bukan juri awam dalam Akademi Fantasia.

Dan visi yang hendak dikemukakan itu hendaklah selari dengan sejarah perjuangan mereka sebelum ini sejarah yang menunjukkan keikhlasan dan pengorbanan dalam perjuangan mereka.