Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok digesa untuk berhenti menuding jari tetapi sepatutnya persoalkan tindakan kerajaan Selangor berikutan gangguan bekalan air menjelang Hari Natal.

Kami merujuk kepada pelbagai kenyataan dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok mengenai gangguan bekalan air di Lembah Klang yang kini sedang berlaku menjelang perayaan Hari Natal.

Teresa Kok menyedari bahawa kerajaan pimpinan PKR melalui Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd telah mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada 15 Oktober 2015 dan telah menukar pasukan pengurusan kanan sebaik pengambilalihan itu.

Rekod menunjukkan TNB telah membuat permohonan untuk melakukan penyelenggaraan segera ini lebih daripada setahun.

Ia sepatutnya dijadual dilakukan pada September 2016 tetapi dianjakkan ke awal Disember sebagaimana permintaan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan SYABAS berikutan beberapa gangguan bekalan air tidak dijangka ekoran paip pecah dan pencemaran air.

Dalam satu mesyuarat pada 31 Oktober 2016, penyelenggaraan TNB ini sekali lagi diminta dianjakkan kepada tarikh pada masa ini iaitu pada 19 Disember 2016, tarikh yang diminta oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan SYABAS, kerana mereka sendiri mempunyai penutupan berjadual pada 6 Disember 2016 bagi tujuan peningkatan.

Ia adalah tanggungjawab SYABAS dan mana-mana infrastruktur kritikal untuk memiliki penjana kuasa sokongan sendiri dan pelan kontingensi jika berlaku gangguan elektrik berjadual atau luar jangka, sebagai contohnya jika berlaku kerosakan kabel atau sebagainya bagi memastikan operasi tidak terganggu.

Penjana kuasa sokongan TNB telah dipinjamkan bagi menjana kuasa bagi kawasan sekitar loji air terbabit ketika gangguan bekalan elektrik ini.

SYABAS telah menjelaskan penjana kuasa sokongan milik mereka tidak berupaya menjana kuasa loji mereka, sekaligus menggagalkan kewujudan penjana kuasa sokongan itu sendiri.

Atas sebab yang hanya diketahui mereka, disebalik mengetahui keperluan penyelenggaraan TNB lebih setahun lalu dan setelah menangguhkannya sebanyak dua kali, SYABAS tidak mengambil inisiatif untuk menyediakan penjana tenaga sokongan, sama ada melalui pembelian mahupun melalui sewaan.

Realitinya, Teresa Kok berterusan untuk menerima hakikat iaitu semalam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali telah mengakui keputusan untuk tarikh itu dibuat oleh Kerajaan Selangor.

Teresa sepatutnya menerima hakikat ini dan berhenti menuding jari kepada TNB atau kepada Kerajaan Persekutuan atau menggambarkan ini adalah satu isu keagamaan.

Jika Teresa masih mahu mencari pihak yang salah, adalah dinasihatkan beliau mempersoalka Menteri Besar Selangor.

Lihat Komen
ADS