Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pelaksanaan rintis Program Dwibahasa (DLP) di sekitar 300 sekolah di Malaysia pada tahun 2016.

Kementerian berusaha meningkatkan bilangan sekolah yang mengamalkan program ini pada 2017 termasuk di sekolah-sekolah Tamil.

Sehingga kini, sekitar 49 Sekolah Tamil dikatakan telah menerima surat tawaran kementerian.

Saya ingin bertanya apakah kriteria yang digunakan untuk memilih 49 Sekolah Tamil ini?

Walaupun demikian, langkah ini menerima bantahan ibu bapa dan NGO India.

Bantahan terhadap program-program dwibahasa bukan sesuatu yang baru.

Ramai pihak telah membantah program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang diperkenalkan pada tahun 2002.

Dalam kajian antarabangsa Kajian Trend Pengajian Sains dan Matematik Antarabangsa 2007, pencapaian pelajar-pelajar Malaysia telah merosot dengan ketara.

Skor Matematik tahun 2007 merosot kepada 474 mata berbanding 508 mata pada tahun 2003. Skor Sains pula merosot kepada 471 mata pada tahun 2007 daripada 510 pada tahun 2003.

Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa tahap penguasaan Bahasa Inggeris pelajar tidak meningkat bawah PPSMI.

Akhirnya pada tahun 2012, PPSMI telah dimansuhkan. Kegagalan PPSMI adalah petunjuk yang baik bahawa program dwibahasa tidak begitu relevan dalam sistem persekolahan Malaysia.

Pada masa kini, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan DLP tanpa melaksanakan kajian yang mendalam serta tanpa perundingan dan maklum balas pakar pendidikan dan orang awam.

Ada pihak menyatakan DLP hanyalah versi baru PPSMI walaupun setiap sekolah diberikan pilihan untuk menerima atau tidak program ini.

Sekolah-sekolah jenis kebangsaan terutamanya Sekolah Tamil tidak akan memperoleh manfaat melalui pelaksanaan DLP.

Kajian UNESCO (1958) telah menunjukkan bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda lebih berkesan. Keputusan UPSR di Sekolah Tamil juga telah bertambah baik sekarang.

Hal ini menunjukkan bahawa pengajaran dalam Bahasa Tamil lebih berkesan di sekolah Tamil.

DLP juga akan mengurangkan jumlah masa penggunaan bahasa Tamil di sekolah-sekolah aliran ini.

Selain itu, kebanyakan pelajar di sekolah Tamil adalah dari golongan kurang pendapatan di mana ahli-ahli keluarga tidak fasih berbahasa Inggeris.

Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan enam lagi pertubuhan Cina yang utama telah menolak sama sekali program DLP kerana mereka bimbang ciri-ciri sistem persekolahan Cina akan hilang.

Hampir 50 NGO Tamil di Pulau Pinang juga telah membantah dan menolak DLP baru-baru ini kerana bimbang tradisi pendidikan Tamil akan hilang di Negara ini.

Dengan ini, saya menyeru agar Kementerian Pelajaran memansuhkan DLP pada masa yang terdekat.

Kementerian juga harus mengambil langkah-langkah alternatif yang sesuai untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Lihat Komen
ADS