PAS: Nak berjubah ke nak berubah?
Kebanyakan orang menyambut baik perubahan yang dilakukan oleh perwakilan PAS dalam muktamar parti itu baru-baru ini. Jika PAS ingin menjadi parti pemerintah, maka ia mestilah mengubah persepsi orang ramai terhadapnya.
Persepsi itu kini ialah: PAS adalah parti ulama yang hanya memperjuangkan satu tujuan menegakkan negara Islam. Bagi menegakkan negara Islam, PAS perlu memenangi pilihanraya. PAS hanya boleh menang pilihanraya jika ia mendapat sokongan majoriti orang Melayu dan sebahagian besar bukan Islam.
Bagaimanakah ia boleh disokong oleh bukan Islam jika persepsi mereka terhadap PAS ialah PAS adalah parti 'mullah' di mana pemimpin utamanya selalu berjubah. PAS perlu mengubah imejnya pada kaca mata umum. Pemimpin-pemimpin negara Timur Tengah sendiripun tidak mengenakan pakaian jubah yang dipakai oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Biarlah pakaian itu khusus untuk ke masjid. Apa salahnya jika pakai sahaja baju Melayu dengan bersampin, seperti orang Melayu-Muslim yang lain.
Sekali sekala pakailah kot dengan seluar pakaian yang menunjukkan kita boleh membuat adaptasi mengikut keadaan, selagi akidah kita tidak berubah. Islam kita tidak mungkin berkurangan! Tuan Guru Nik Aziz pun pakai baju Melayu, walaupun adakalanya dipakai pula vest 'Camel' (pakaian pemberita akhbar) di luarnya!
Jika tujuan PAS ialah hendak memerintah negara ini, maka parti itu hendaklah menempatkan dirinya (iaitu 'positioning' mengikut istilah pemasaran) di tengah-tengah, bukan di tepian maksudnya, dalam pasaran 'oligopoli' adalah penting bagi sesebuah firma bersaing dengan firma lain dengan menempatkan dirinya sehampir-hampir yang boleh dengan lawannya dari segi penjenamaan dan servis kepada 'konsumer'.
PAS perlu belajar dari teori ekonomi ini tidak salah, jika tujuannya adalah baik. Belajarlah dari penempatan stesen minyak di sebatang jalan yang lurus. Jika stesen pertama menempatkan dirinya di pertengahan jalan, maka saingannya yang datang kemudian, akan menempatkan dirinya di seberang jalan, bertentangan dengan stesen pertama!
Jika ditempatkan dirinya terlalu jauh dari 'posisi di tengah-tengah', maka hilanglah segala pengaruhnya di kalangan majoriti pengundi. Itupun kalau hendak memerintah negara. Jika PAS wujud sekadar untuk membuat 'bising' sahaja pada setiap kali pilihanraya teruskanlah berjubah, jangan berubah!

