Kewajaran kenaikan gaji ahli Parlimen tidak tepat
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika diwawancara mengenai kewajaran kenaikan elaun ahli Parlimen , berkata ia kerana tanggungjawab ahi Parlimen yang semakin banyak dan ramai pihak datang memohon bantuan kewangan tanpa mengira waktu dan hari.
Pada saya, jawapan itu tidak tepat, malah ia akan hanya mendidik rakyat Malaysia menjadi peminta sedekah, bukannya mendidik mereka menjadi warga prihatin untuk membantu saudara terdekat dan jiran, kerana mereka kini ada hak untuk dibantu jika tidak berkemampuan.
Alasan bahawa beban tugas ahli Parlimen semakin bertambah juga tidak logik kerana semasa pilihanraya lalu, 26 kerusi Parlimen ditambah menjadi 219, berbanding 193 kerusi pada 1999. Dengan pertambahan 13 peratus kerusi Parlimen ini, maka sepatutnya gaji mereka dikurangkan lima hingga 10 peratus.
Parlimen Rembau contohnya, adalah kawasan baru selepas persempadanan semula dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Sebelum ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong berada dalam kawasan Parlimen Telok Kemang, DUN Rantau dalam parlimen Rasah dan DUN Kota dalam Parlimen Tampin. DUN Paroi pula adalah kawasan baru sejak tahun 2004.
Ini bermakna beban tanggungjawab wakil rakyat di Parlimen Telok Kemang, Parlimen Rasah dan Parlimen Tampin telah kurang dengan wujudnya Parlimen baru Rembau. Jadi apakah kewajaran kenaikan 10 peratus untuk wakil Parlimen Telok Kemang, Rasah dan Tampin setelah beban mereka berkurangan?
Alasan kedua yang diberikan ialah ramainya rakyat datang meminta bantuan sehingga ahli Parlimen terpaksa gunakan duit poket sendiri. Tidak salah jika wakil rakyat menghulurkan bantuan, tetapi apakah kita mahu mewujudkan budaya di mana bagi perkara remeh temeh seperti membeli susu anak, sekampit beras sekampit, sekilo gula serta kain pelikat, mahu diserahkan kepada wakil rakyat?
Mana perginya saudara mara dan jiran tetangga yang terdekat? Mana perginya ketua-ketua cawangan, pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), imam-imam dan ahli jawatankuasanya?
Bukankah mereka ini ditugaskan untuk memudahkan permohonan rakyat yang memerlukan bantuan melalui pelbagai badan dan agensi kerajaan seperi Baitul Mal, Jabatan Kebajikan Masyarakat, biasiswa pelajaran, PPRT, yayasan-yayasan dan sebagainya?
Wakil rakyat hanya sekadar memberi sokongan kepada permohonan tersebut disamping memberikan panduan bagaimana hendak memohon bantuan kewangan, pinjaman, pembelajaran, perniagaan dan sebagainya.
Seorang sahabat pernah menceritakan kepada saya mengenai Tan Sri Lee Lam Thye ketika beliau menjadi ahi Parlimen Bukit Bintang. Beliau sentiasa membawa mesin taip (ketika itu tiada komputer riba) dalam keretanya. Jika ada yang memerlukan bantuan, beliau menyediakan surat sokongan atau menyediakan borang permohonan. Bukankah ini yang sepatutnya dilakukan oleh ahli Parlimen kita, membimbing dan mendidik rakyat untuk berdikari?
Jika mereka susah kita sediakan borang Baitul Mal, jika mereka tidak tahu isi, kita bantu isikan, dan jika mereka tiada pengangkutan untuk menghantar borang tersebut, kita sendiri menghantarnya kepada pihak Baitul Mal. Secara tidak langsung, kita mendidik rakyat bagaimana caranya untuk mendapatkan sumbangan serta bantuan melalui pelbagai badan dan agensi kerajaan.
Lama kelamaan mereka pula akan mendidik pula saudara mara dan jiran tetangga yang susah bagaimana untuk berdikari. Inilah apa yang dititikberatkan oleh Khalifah Islam keempat, Saidina Ali apabila ditanya apa pilihannya antara harta dan ilmu beliau memilih ilmu. Kerana jika memilih harta, kita akan menjadi hamba kepada harta.

